BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUAMALAT

message user image

  Soalan

Assalamualaikum

Saya seorang guru sekolah kerajaan di Selangor. Pihak kerajaan negeri ada menjalankan program tuisyen rakyat selangor di mana program ini adalah kelas tambahan bagi murid-murid selepas waktu sekolah. Akan tetapi kelas tambahan tersebut telah dijalankan pada waktu persekolah dan bukan pada waktu selepas persekolah. Saya merasa musykil dan waswas dengan elaun yang saya perolehi dari kelas tambahan tersebut. Apakah status elaun tersebut. saya tidak mahu mengunakan wang elaun tersebut untuk tujuan peribadi kerana merasa ragu-ragu akan status halal dan berkat elaun tersebut kerana diperolehi melalui cara penipuan tuntutan elaun. Apa yang perlu saya buat dengan duit tersebut. Adakah boleh saya

i) gunakan duit itu untuk membeli peralatan untuk kegunaan sekolah dan guru dan manfaat untuk murid seperti papan putih, projektor, fotostate bahan dan sebagainya?

ii) memberi sumbangan derma pada murid yang susah

iii) menyerahkan kesemua duit itu pada baitulmal?

 

Sekian terima kasih


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada soalan yang diajukan, terdapat dua keadaan:

1. Sekiranya penentuan waktu itu dibuat oleh pihak guru itu sendiri tanpa keizinan diri pihak sekolah, maka ia tidak dibenarkan. Ini adalah kerana guru tersebut telah menggunakan waktu kerja bagi urusan lain yang tidak sepatutnya.

2. Sekiranya penentuan waktu itu ditetapkan oleh pihak sekolah maka ia adalah dibenarkan. Ini adalah kerana pihak sekolah telah sedia maklum dan mengajarkan tuisyen itu dianggap sebagai suatu tugasan tambahan lain selain dari tugasan hakiki. Namun, jika masih berasa ragu akan keharusannya dan tidak mahu menggunakan elaun tersebut untuk kegunaan sendiri lalu memberikan kepada jalan kebajikan, maka ia adalah sifat warak yang dipuji.

Jika anda berada dalam keadaan pertama maka wang tersebut termasuk dalam Wang  Tidak Patuh Syarak dan berdasarkan keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa ke-87, Majlis Kebangsaaan bagi Hal Ehwal Islam pada 23-25 Jun 2009, telah dinyatakan iaitu:

“Muzakarah berpandangan bahawa di dalam Islam harta-harta yang diperolehi dengan cara yang tidak mematuhi syariah seperti riba, gharar, perjudian, penipuan, rompakan, rampasan, rasuah dan seumpamanya adalah haram dan tidak boleh digunakan untuk manfaat dan kepentingan diri sendiri serta perlu dibersihkan melalui kaedah-kaedah berikut:

i. Diserahkan kepada baitulmal untuk maslahah umum umat Islam seperti membiayai pembinaan atau penyelenggaraan jambatan, jalan, tandas dan seumpamanya;

ii. Diserahkan kepada golongan fakir miskin; atau

iii. Jika harta tersebut merupakan harta rompak, curi dan seumpamanya, maka harta tersebut perlu diserahkan semula kepada pemiliknya. Jika pemiliknya telah meninggal dunia atau tidak dapat dijumpai, maka harta tersebut mestilah dikembalikan kepada ahli warisnya. Sekiranya tidak dapat diketahui pemilik atau ahli waris pemilik, maka harta tersebut hendaklah diserahkan kepada baitulmal”.

 

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2022
Jumlah Pelawat : 136

message user image