Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum saya nak bertanya, begini situasinya kawan saya duduk dekat katil rakan saya yang lagi satu tetapi di katil tersebut terdapat darah haid yang sudah kering tanpa dia sedar kemudian dia duduk semula di katilnya adakah ianya dikira tidak sah jika dia ingin melakukan ibadah selepas itu? Dan apa yang terjadi jika rakan saya yang duduk Di atas katil yang ada haid itu duduk di atas katil saya pula? Adakah saya perlu basuh cadar itu?
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه اجمعين أما بعد
Darah haid adalah salah satu daripada najis yang boleh menyebabkan pakaian menjadi kotor dan tidak boleh dibuat solat atau melakukan ibadah-ibadah lain.
Sesuatu najis juga tidak akan hilang dari pakaian kecuali membasuhnya dengan air yang suci, dan tidak memadai dengan keringnya najis itu, Sebagaimana Hadis Nabi SAW berkaitan darah haid yang terkena pakaian wanita:
إذا أصاب ثوبَ إحداكنَّ الدَّمُ من الحيضةِ فلْتُقرِصْه ، ثم لْتَنضَحْه بالماء ، ثم لْتُصلِّي فيه
"Jika pakaian seseorang terkena dengan darah haid, maka hendaklah mengikiskanya kemudian gosoklah dengan air dan menyiramnya (membilas), lalu solatlah dengan pakaian itu" ( Bukhari dan Muslim)
Dalam hal ini, adalah dinasihatkan kepada kawan saudari untuk membersihkan darah yang sudah kering itu terlebih dahulu. Namun, jika kita telah berusaha bersungguh-sungguh membasuhnya, tetapi kesannya masih tidak boleh dihilangkan , ianya adalah dimaafkan dan tidaklah membatalkan solatnya. Sekiranya saudari merasakan was-was, adalah sewajarnya saudari membasuh cadar tersebut untuk menghilangkan rasa syak wasangka tersebut.
Di dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah. Beliau berkata :
أَنَّ خَوْلَةَ بِنْتَ يَسَارٍ أَتَتِ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم فَقَالَتْ : يَا رَسُولَ اللهِ إِنَّهُ لَيْسَ لِي إِلاَّ ثَوْبٌ وَاحِدٌ وَأَنَا أَحِيضُ فِيهِ فَكَيْفَ أَصْنَعُ ؟ قَالَ : إِذَا طَهُرْتِ فَاغْسِلِيهِ ، ثُمَّ صَلِّي فِيهِ . فَقَالَتْ : فَإِنْ لَمْ يَخْرُجِ الدَّمُ ؟ قَالَ : يَكْفِيكِ غَسْلُ الدَّمِ وَلاَ يَضُرُّكِ أَثَرُه
Maksudnya : “Khaulah Binti Yasar datang bertemu dengan Nabi SAW. Beliau berkata: Wahai Rasulullah aku tiada pakaian melainkan satu helai sahaja dan ada kesan haid pada pakaian tersebut. Bagaimana perlu aku lakukan?, Baginda SAW menjawab : Jika engkau telah suci, bersihkanlah pakaian tersebut kemudian solatlah menggunakan pakaian itu. Khaulah berkata lagi : Jika tiada darah yang keluar?. Nabi SAW menjawab: Cukuplah sekadar basuh darah haid dan kesannya tidak memudaratkan engkau (boleh digunakan untuk solat dan sebagainya).” (Riwayat Abu Daud)
والله اعلم بالصواب