Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum Ustaz. Dalam bulan ini banyak benda yang saya perlu bayar sekaligus seperti Roadtax kereta, lesen kereta, roadtax moto menyebabkan banyak komitmen2 seperti bayaran bulanan rumah, hutang bank dan hutang2 lain tertunggak..gaji yang saya terima setiap bulan tidak lagi seperti sebelum ini walaupun gaji basic telah dinaikkan ke RM2000 namun saya tidak lagi meneriman bayaran OT seperti sebelum ini menyebabkan gaji bersih yg saja terima setiap bulan dalam lingkungan RM2000 - RM2100.. Isteri saya bekerja disebuah restoran namun gaji yang beliau terima ialah lebih kurang RM1600 saja..komitmen yang perlu saya bayar setiap bulan lebih kurang RM3500 termasuk pampers dan susu anak saya yang seorang..Disebabkan itulah saya telah mendaftar untuk menjadi GrabRider sebagai part time untuk membayar komitmen yang tertunggak namun atas ketiadaan kuota untuk id Halal saya secara automatik menerima id regular ( menerima pesanana halal dan non- halal) padahal semasa pendaftaran saya telah memilih id halal namun pada waktu pengaktifan staff grab tidak memberitahu saya dan saya hanya tahu bahawa saya telah menerima id regular dari rakan driver grab yang lain. Saya telah berhubung dengan GRAB untuk menukar balik ID yang telah didaftar namun mereka mengatakan bahawa pada waktu ini mereka tidak dapat menukarnya biarpun saya telah mengatakan bahawa pada waktu pendaftaran saya telah memilih ID Halal. Soalan saya disini apakah hukum saya menghantar makanan non-halal (tidak termasuk arak kerana saya tahu haram untuk terlibat dengan arak hatta dalam penghantaran sekalipun). Maksud saya hukum menghantar makanan dari kedai non halal. Saya tidak ada pilihan lain selain menjadikan Grab rider sebagai part time kerana saya sangat memerlukan wang ketika ini untuk membayar tunggakan komitmen seperti renew lesen, roadtax kereta, installment rumah dan hutang2 lain..
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته ...
الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه
Merujuk kepada persoalan saudara, berdasarkan Keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Kali Ke-5/2021 yang bersidang pada 5 ربيع الأول 1443H bersamaan 12 Oktober 2021 telah membincangkan mengenai Pekerjaan Menghantar Makanan Tidak Halal. Mesyuarat memutuskan bahawa:-
a) Hukum pekerjaan perkhidmatan menghantar makanan yang keseluruhannya tidak halal adalah haram dan tidak dibenarkan.
b) Hukum pekerjaan perkhidmatan menghantar makanan yang bercampur antara halal dan haram adalah harus akan tetapi wajib bagi pekerja tersebut menyucikan penghasilan daripada sumber haram.
c) Pekerjaan perkhidmatan menghantar makanan yang tidak diketahui status halal, maka tidak berdosa dan pendapatannya adalah halal tanpa perlu menyelidiki perkara-perkara yang tersembunyi.
Sehubungan itu, pekerjaan perkhidmatan menghantar makanan dari kedai orang bukan Islam yang tidak mengandungi unsur arak atau babi dan tidak mengandungi unsur-unsur yang haram atau syubhah bagi sesuatu pesanan yang diambil, maka tidak berdosa dan pendapatannya adalah halal tanpa perlu menyelidiki perkara-perkara yang tersembunyi. Namun dalam masa yang sama, ingin juga kami tegaskan bahawa pendapatan yang diperolehi oleh seseorang penghantar makanan dalam talian disifatkan haram apabila mereka mengetahui status makanan yang dihantar kepada pelanggan adalah tidak halal.
والله أعلم بالصواب