Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum wbr SS Datuk Dr, terima kasih sudi membaca soalan saya..Saya Nurul 'Ain Md Nasir dari Melaka.
Sy ingin bertanya adakah wujud Tuntutan Nafkah Iddah bagi isteri yang kematian suami? Isteri ini adalah dari perkahwinan kedua suami, isteri dari perkahwinan pertama telah meninggal dunia dan mempunyai 4 orang anak perempuan. Isteri ini tiada anak bersama suami dan seorang yang berkerjaya dan tidak miskin. Isteri juga telah mengeluarkan sebahagian wang dalam akaun bank peninggalan arwah suami dan menerima pencen bulanan arwah suami. Jika benar wujud tuntutan nafkah ini,kepada siapakah ianya boleh dituntut?
Isteri juga telah melanggar peraturan di dalam tempoh iddah, iaitu keluar dari rumah bukan hanya utk tujuan ke tempat kerja (bercuti), yang bagi saya ini adalah tidak wajar dilakukan. Adakah dosa ini akan ditanggung oleh arwah suami di akhirat kelak?
Mohon jasa baik pencerahan dan pandangan SS Datuk Dr utk tindakan saya selanjutnya. Kerjasama dan perhatian SS Datuk Dr. amatlah dihargai dan diucapkan ribuan terima kasih.
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاتة
الحمدلله رب العلمين والصلاة والسلام علي أشرف الأنبياء المريلين وعلي أله وصحبه أجمعين أما بعد
Merujuk kepada persoalan saudari,
1. Sepakat mazhab Hanafi, Maliki, Syafi'i dan Hanbali bahawa isteri kematian suami tidak berhak mendapat nafkah iddah walaupun isteri dalam keadaan hamil.
2. Isteri kematian suami wajib beriddah selama 4 bulan 10 hari serta wajib untuk berkabung (ihdad) dalam tempoh tersebut iaitu dengan meninggalkan dari memakai perhiasan serta dilarang dari keluar rumah melainkan atas sebab keperluan yang mendesak seperti untuk bekerja. Adapun keluar dengan sebab bercuti atau berjalan-jalan hukumnya adalah haram. Dalil tentang iddah kematian suami adalah sebagaimana firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 234;
وَالَّذِينَ يُتَوَفَّوْنَ مِنْكُمْ وَيَذَرُونَ أَزْوَاجًا يَتَرَبَّصْنَ بِأَنْفُسِهِنَّ أَرْبَعَةَ أَشْهُرٍ وَعَشْرًا ۖ
Maksudnya: "Dan orang-orang yang meninggal dunia di antara kamu, sedang mereka meninggalkan isteri-isteri, hendaklah isteri-isteri itu menahan diri mereka (ber’iddah) selama empat bulan sepuluh hari".
Dalil tentang ihdad (tidak berhias) adalah sebagaimana hadis yang diriwayatkan daripada Ummu Habibah Binti Abu Sufiyan RA, bahawa baginda SAW bersabda:
لاَ يَحِلُّ لاِمْرَأَةٍ تُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ اﻟْﺂخِرِ أَنْ تُحِدَّ عَلَى مَيِّتٍ فَوْقَ ثَلاَثِ لَيَالٍ إلاَّ عَلَى زَوْجٍ أَرْبَعَةَ أَشْهُرٍ وَعَشْرًا
Maksudnya: Tidak Halal bagi seorang wanita yang beriman kepada Allah dan hari akhirat untuk ihdad (tidak berhias) melebihi tiga hari kecuali kematian suami iaitu empat bulan sepuluh hari. (Riwayat al-Bukhari)
3. Orang yang telah meninggal dunia tidak menanggung dosa orang yang masih hidup. Jika isteri yang melakukan kejahatan, maka dia sahajalah yang menanggung dosanya sendiri, bukan suaminya, atau orang lain. Firman Allah SWT dalam surah al-An'am ayat 164:
وَلَا تَكۡسِبُ كُلُّ نَفۡسٍ إِلَّا عَلَیۡهَاۚ وَلَا تَزِرُ وَازِرَةࣱ وِزۡرَ أُخۡرَىٰۚ
Maksudnya: "...Dan tiadalah (kejahatan) yang diusahakan oleh tiap-tiap seorang melainkan orang itulah sahaja yang menanggung dosanya; dan seseorang yang boleh memikul tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain (bahkan dosa usahanya sahaja)".
Tindakan yang boleh dilakukan ialah dengan menasihatinya secara berhemah.
والله أعلم بالصواب