Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum ustaz, saya ada beberapa pertanyaan, saya amat memerlukan jawapan kerana pertanyaan ini mengganggu aktiviti harian saya terutama sekali sewaktu solat.
1. Saya keliru, ustaz cakap solat dengan najis yang tak disedari atau terlupa tetap tidak sah tapi haritu ustaz cakap sah solat jika tidak pasti lekat najis atau tak pada badan atau pakaian.. mana satu ni ustaz?
2. Tidak sedar ada najis pada pakaian sama ke dengan tidak yakin ada najis pada pakaian? Kadang kadang tidak yakin tapi najis tu tanpa disedari ada, macam mana tu?
3. Bila tak sedar ada najis pada pakaian, contohnya setitik air kencing kering, apa nk buat? Jika nak basuh mesti kena tahu dulu adanya najis tu, tapi jika lansung tidak sedar, macam mana nk buat? perlu guna microskop ke?
4. Dalam kes ni, hukumnya sama ke dengan orang yg tinggal solat, di mana tetap diazab walaupun tidak sedar pakaian ada najis ketika solat? Saya ada dengar solat sah jika tidak sedar lansung ada najis pada pakaian sampai bila bila..
5. Perlu qadha ke solat sepanjang hidup jika lansung tidak sedar pakaian ada najis? Dan macam mana nak tau kene qadha, sedangkan tak tahu pakaian itu bernajis atau tidak? Contohnya setitik air kencing yg kering
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد
Seseorang yang hendak mendirikan solat hendaklah terlebih dahulu memastikan dirinya, pakaiannya serta tempat solatnya suci daripada najis. Jika terdapat najis pada perkara-perkara yang disebutkan itu, maka hendaklah ianya dibersihkan terlebih dahulu sehingga tempat yang terkena najis itu menjadi suci. Salah satu daripada syarat sah solat itu ialah suci tubuh badan, pakaian dan tempat sembahyang daripada najis.
Merujuk kepada soalan yang diajukan,
1. Saya keliru, ustaz cakap solat dengan najis yang tak disedari atau terlupa tetap tidak sah tapi haritu ustaz cakap sah solat jika tidak pasti lekat najis atau tak pada badan atau pakaian.. mana satu ni ustaz?
Najis yang tidak disedari berbeza dengan terlupa ada najis atau tahu ada najis tapi tidak dapat dipastikan duduk letaknya najis tersebut seperti percikan air kencing. Najis yang tidak disedari dianggap sesorang itu tidak tahu ada najis pada badan atau pakaiannya. Imam Al-Ramli menyebut jika seseorang itu solat dalam keadaan tubuh pakaian atau tempat solatnya bernajis dan tidak mengetahuinya ketika permulaan solat kemudian setelah selesai baru dia tahu yang pada pakaian, atau tempatnya itu ada najis, maka dia wajib mengganti mengulangi semula solatnya. Ini adalah kerana suci daripada najis merupakan salah satu syarat sah solat. Apabila seseorang menyedari dan meyakini bahawa dia solat dalam keadaan tidak suci dari najis, maka solatnya tidak sah dan wajib diqada'.
Al-Khatib Al-Syarbini menyatakan bahawa sekiranya dia tahu pada pakaiannya ada najis, kemudian dia terlupa. Kemudian dia teringat sama ada semasa solat atau selepas, maka batal lah solatnya dan perlu diulangi semula.
2. Tidak sedar ada najis pada pakaian sama ke dengan tidak yakin ada najis pada pakaian? Kadang kadang tidak yakin tapi najis tu tanpa disedari ada, macam mana tu?
Tidak sedar dan tidak yakin adalah dua perkara yang berbeza.
Tidak sedar bermaksud tidak mengetahui kewujudan najis. Jika seseorang solat tanpa menyedari kewujudan najis, maka solatnya dianggap sah.
Tidak yakin bermaksud ragu-ragu sama ada ada najis atau tidak. Perkara ini dirujuk kepada hukum asal sesuatu, iaitu suci. Ini berdasarkan kepada kaedah Fiqah yang mengatakan bahawa asal hukum sesuatu itu adalah suci. Rasa ragu tidak dapat mengubah atau menjadikannya bernajis. Sebagaimana yang dinyatakan sebelum ini, kita perlu berusaha memastikan badan, pakaian dan tempat adalah suci sebelum memulakan solat.
3. Bila tak sedar ada najis pada pakaian, contohnya setitik air kencing kering, apa nk buat? Jika nak basuh mesti kena tahu dulu adanya najis tu, tapi jika lansung tidak sedar, macam mana nk buat? perlu guna microskop ke?
Seseorang yang tidak sedar adanya najis setelah diselidiki badan dan pakaiannya maka pada ketika itu tiada keperluan untuk menyucinya. Namun, jika seseorang itu tahu terkena najis tapi tidak pasti kedudukan najis tersebut maka pada ketika itu basuhlah kawasan yang diyakini terkena najis tersebut. Tidaklah perlu menggunakan sebarang peralatan seperti teleskop atau ujian dna najis semata-mata untuk mencari najis yang tidak nampak pada pandangan mata kasar. Seseorang itu hanya perlu yakin dan sedar bahawa dia dalam keadaan suci daripada najis pada badan, pakaian dan tempat solatnya ketika mendirikan solat.
4. Dalam kes ni, hukumnya sama ke dengan orang yg tinggal solat, di mana tetap diazab walaupun tidak sedar pakaian ada najis ketika solat? Saya ada dengar solat sah jika tidak sedar lansung ada najis pada pakaian sampai bila bila.
Tidak sama kerana orang yang tinggal solat itu adalah perbuatan yang disengajakan dan berdosa hukumnya. Manakala orang yang menunaikan solat tanpa menyedari pada pakaiannya terdapat najis maka solatnya dianggap sah. Namun jika seseorang itu sedar terdapat najis maka perlu ulang semula solatnya setelah disedari terdapatnya najis serta merta. Adapun jika seseorang perasan ada najis pada pakaian dalam tempoh masa yang lama maka dia tidak perlu mengulangi solatnya dan solat yang telah ditunaikan itu dianggap sah. Ini berdasarkan kaedah :
الأصل في كل حادث تقديره بأقرب زمن
Maksudnya: “Asal bagi (menetapkan) setiap perkara adalah dengan ditakdirkan dengan waktu yang terdekat.”
Berdasarkan kaedah ini, ianya membawa maksud bahawa jika najis itu didapati dalam tempoh masa yang lama selepas menunaikan solat, maka dia tidak perlu mengulangi solatnya kerana ada kemungkinan najis yang ada pada pakaiannya itu melekat dalam tempoh masa selepas menunaikan solat. Akan tetapi, jika dalam tempoh masa yang lama dia yakin bahawa najis yang ada padanya itu adalah najis yang ada sebelum dari itu dan dibawa ke dalam solat, maka wajib untuk dia ulanginya.
5. Perlu qadha ke solat sepanjang hidup jika lansung tidak sedar pakaian ada najis? Dan macam mana nak tau kene qadha, sedangkan tak tahu pakaian itu bernajis atau tidak? Contohnya setitik air kencing yg kering
Jika saudara memang tidak menyedari adanya najis maka solatnya dianggap sebagai sah dan tiada apa yang perlu diqada'.
Berdasarkan kaedah Fiqh yang berbunyi:
الْأَصْلُ بَقَاءُ مَا كَانَ عَلَى مَا كَانَ
Bermaksud: Pada asasnya, (hukum) sesuatu itu kekal mengikut keadaan (hukum) asalnya.
Hukum asal sesuatu itu adalah suci, maka ia akan terus kekal suci. Manakala najis itu sifat atau keadaan yang mendatang, maka ia perlu dibuktikan dengan keyakinan, dan bukan ragu-ragu.
Perasaan tidak yakin atas sesuatu itu merupakan penyakit was-was pada diri perlu dielakkan dan dijauhi bagi menggelakkan permasalahan yang lebih berat kepada diri tuan pada masa akan datang. Perasaan was-was itu adalah gangguan dari syaitan. Para ulama’ amat mengambil berat mengenai penyakit ini kerana jika dibiarkan berlarutan boleh menjadi sesuatu yang lebih kronik kerana ianya penyakit yang berkaitan dengan jantung hati.
Berdoalah kepada Allah SWT semoga kita dijauhi dari penyakit was-was ini.
والله أعلم بالصواب
Sekian, terima kasih.