Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum
Saya mempunyai pertanyaan tentang hukum seorang isteri yang berkemampuan baik dari segi kewangan maupun kesihatan untuk menunaikan haji tanpa suami. Isteri telah hampir berumur 50 tahun.
Isteri mampu untuk menaja suami menunaikan haji. Namun memandangkan selama perkahwinan mereka nafkah pakaian dan tempat tinggal bagi keluarga adalah ditanggung sepenuhnya oleh isteri, dan suami juga telah diberikan peluang selama 20 tahun untuk mencukupkan wang, isteri merasa agak ragu2 untuk menaja suami.
Ada 2 soalan yg ingin dikemukakan
i. hukum isteri yg masih menangguh pemergiannya menunaikan haji walaupun berkemampuan atas niat menanti suami untuk bersama2 menunaikan haji? Adakah isteri patut menunggu sehingga suami mencukupkan wang?
ii. Hukum isteri yg pergi bersendirian dan tidak menaja suami menunaikan haji walaupun mampu atas sebab untuk mengelakkan sebarang perasaan tidak ikhlas di masa hadapan.
Buat pengetahuan, suami adalah dr kalangan T20.
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وأصحابه أجمعين أما بعد
i. Bagi mazhab Syafi'i, kewajipan menunaikan haji adalah bersifat 'tarakhi' (boleh ditangguh) dan bukannya 'fawri' (serta-merta) sebagaimana pandangan sebahagian mazhab seperti mazhab Hanafi. Oleh itu, puan boleh menangguhkan pemergian puan untuk menunaikan haji pada bila bila-bila masa atas apa jua alasan. Walau bagaimanapun, adalah digalakkan untuk menyegerakannya memandangkan manusia tidak dapat mengetahui sama ada kesempatan itu masih ada lagi pada masa hadapan. Firman Allah SWT dalam surah Ali - 'Imran ayat 97 ;
وَلِلَّهِ عَلَى النَّاسِ حِجُّ الْبَيْتِ مَنِ اسْتَطَاعَ إِلَيْهِ سَبِيلاً
Maksudnya: Dan mengerjakan haji adalah kewajipan manusia terhadap Allah, iaitu bagi orang yang berkemampuan untuk sampai ke sana.
Seandainya seseorang itu meninggal dunia sebelum menunaikan ibadah haji sedangkan dia berkemampuan untuk pergi, maka wajib diambil dari harta pusaka untuk menunaikan badal haji untuknya
ii. Tidak menjadi kewajipan ke atas isteri untuk membiayai kos ibadah haji suaminya kerana kewajipan tersebut dikira masih belum dikenakan ke atas suaminya selagi tidak berkemampuan. Isteri boleh menunaikan haji dengan bermahramkan wanita lain yang boleh dipercayai (thiqqah). Walau bagaimanapun, jika mampu berbaik sangka kepada suami dan berkemampuan untuk menaja suami, maka perkara tersebut adalah amat baik dan insyaAllah mendapat ganjaran yang besar atas amal kebajikan ini. Adalah dikhuatiri meninggalkan berbuat sesuatu kebaikan atau kebajikan dengan alasan takut berasa tidak ikhlas boleh membawa kepada unsur riak. Riak adalah melakukan atau meninggalkan sesuatu perkara itu bukan kerana Allah, sebaliknya kerana manusia. Ia merupakan salah satu cara halus bisikan syaitan menghalang manusia dari melakukan amal kabajikan.
والله أعلم بالصواب