Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum tuan mifti. Saya was-was setiap kali mandi wajib. Biasanya mengambil masa lebih kurang 1 jam untuk selesai mandi. 1) apabila saya membersihkan air mani pada badan, saya rasa licin air mani itu tidak hilang-hilang. Apa perlu saya buat? Adakah lalukan air dan gosok 3 kali dan selepas itu saya abaikan sahaja rasa licin itu? 2) adakah setiap kulit badan perlu digosok? Bahagian tengkuk dan belakang badan yang pada kebiasaannya air akan lalu terutamanya mandi guna air shower turut perlu digosok? 3) adakah sesuatu anggota itu dikira telah rata air dengan saya mengikut kebiasaan air iaitu air akan mengalir ke mana-mana? 4) apakah tahap ketelitian semasa mandi wajib? Adakah perlu pastikan setiap anggota itu telah digosok dengan sempurna atau hanya menggosok badan seperti mandi harian dimana saya hanya gosok dengan ala kadar? Terima kasih tuan mufti.
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاتة
الحمدلله رب العلمين والصلاة والسلام علي أشرف الأنبياء المريلين وعلي أله وصحبه أجمعين أما بعد
Salah satu rukun mandi wajib adalah meratakan air ke seluruh badan termasuk kulit, bahagian pusat dan bulu-bulu yang ada pada tubuh badan badan. Maka wajib menghilangkan terlebih dahulu sebarang najis, bendasing atau kotoran yang dapat menghalang air dari sampai ke kulit. Walau bagaimanapun sekiranya bendasing atau kotoran tersebut sukar untuk ditanggalkan secara sempurna setelah berusaha sedaya upaya menanggalkannya tanpa memudaratkan diri, seperti cat, gam, minyak atau sebagainya, maka ia dimaafkan.
Merujuk kepada persoalan tuan, air mani bukan najis, maka memadai sekadar meratakan atau melalukan dengan air mutlak sahaja untuk mencucinya. Berkaitan dengan meratakan air ke seluruh badan, hukum menggosok anggota badan bagi meratakan air adalah termasuk di dalam perkara sunat. Adalah memadai dengan mengalirkan air ke seluruh badan seandainya diyakini ia mengenai seluruh anggota. Walau bagaimanapun, adalah disarankan untuk menggosok bahagian yang berlibat seperti dicelah-celah jari kaki, pusat, bahagian dalam cuping telinga, bahagian kemaluan dan sebagainya yang sukar dikenai air.
Manakala bagi perasaan was-was yang mengganggu ibadah, ianya adalah gangguan fikiran dan syaitan. Hindarkan jiwa dari melayannya. Ini kerana melayannya bererti mengikut kehendak syaitan yang cuba menghilang fokus seseorang kepada ibadah dan cuba menjadikan seseorang itu akhirnya bosan, bimbang dan jemu dengan ibadah. Orang yang selalu merasa was-was dalam ibadah sehingga melakukannya berulang-ulang kali, atau melayan perasaannya yang sentiasa merasa bebanan was-was hendaklah bertanyakan dirinya sendiri; untuk apa ia lakukan itu semua? Jika ia untuk Allah SWT, maka hendaklah dia tahu bahawa Allah SWT tidak meredhai tindakannya melayan gangguan perasaan atau syaitan yang seperti itu. Layanan kepada perasaan was-was itu hanya mentaati syaitan atau ganggu emosi yang salah bukan mentaati Allah SWT. Untuk itu, perbanyakkanlah Istighfar kepada Allah SWT, mudah-mudahan penyakit ini akan hilang mencengkam dari jiwa kita..
والله أعلم بالصواب