Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum tuan mufti, adakah mengatakan Tuhan tempat duduk atas langit dikira syirik dan jatuh kafir? Terima kasih tuan mufti.
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وأصحابه أجمعين أما بعد
Setiap orang Islam yang mukallaf wajib beriman dan percaya bahawa Allah SWT adalah Tuhan yang Maha Pencipta dan Pentadbir sekalian alam. Setiap yang mampu dilihat atau dibayangkan oleh akal manusia adalah ciptaan Allah SWT dan tidak serupa dengan-Nya. Firman Allah SWT dalam surah al-Syura ayat 11;
لَيْسَ كَمِثْلِهِ شَيْءٌ ۖ وَهُوَ السَّمِيعُ الْبَصِيرُ
Maksudnya: Tidak ada sesuatu pun yang serupa dengan Dia (Allah), dan Dialah Yang Maha Mendengar lagi Maha Melihat.
Persoalan berkaitan tempat Allah SWT di langit sering timbul ketika membahaskan ayat mutasyabihat yang tidak boleh difahami secara zahir kerana ia akan bercanggah dengan ayat-ayat Al-Quran yang lain. Sebagai contoh, firman Allah SWT dalam surah al-Mulk ayat ke 17;
أَمْ أَمِنْتُمْ مَنْ فِي السَّمَاءِ أَنْ يُرْسِلَ عَلَيْكُمْ حَاصِبًا فَسَتَعْلَمُونَ كَيْفَ نَذِيرِ
Maksudnya: Atau apakah kamu merasa aman terhadap Allah yang di langit bahawa Dia akan mengirimkan badai yang berbatu. Maka kelak kamu akan mengetahui bagaimana akibat mendustakan peringatan-Ku.
Walaupun zahir ayat di atas menunjukkan Allah SWT berada di langit, namun kaedah pemahaman ayat ini adalah Allah SWT bersifat tinggi dari sudut martabat dan darjat berbanding sekalian hamba-Nya dan bukanlah Allah SWT bertempat di langit. Ini kerana Allah SWT berbeza dengan makhluk dan Dia tidak memerlukan kepada tempat yang meliputinya.
Berkata Imam Jaafar al-Sodiq RA
مَنْ زعم أن الله في شيء أو من شيء أو على شيء فقد أشرك؛ إذ لو كان في شيء لكان محصورًا، ولو كان على شيء لكان محمولًا، ولو كان من شيء لكان مُحْدَثًا
"Sesiapa yang mendakwa Allah dalam sesuatu, atau daripada sesuatu, atau atas sesuatu maka dia telah syirik. Ini kerana jika dia mengatakan Allah berada dalam sesuatu maka tentunya Allah terbatas di tempat itu, jika dikatakan Allah di atas sesuatu nescaya Allah dibawa (ditanggung) oleh sesuatu, jika dikatakan Allah dari sesuatu maka jadilah Allah itu baharu". (al-Risalah al-Qusyairiah)
Perlu difahami bahawa kesemua sifat yang dinyatakan adalah untuk makhluk dan mustahil bagi Allah SWT.
Jika seseorang percaya atau beriman bahawa Allah SWT duduk di langit seperti duduknya makhluk yang memerlukan tempat, maka kepercayaan ini boleh membawa kepada syirik kerana menyamakan Allah SWT dengan makhluk. Adapun jika seseorang beriman bahawa Allah SWT tidak seperti makhluk yang memerlukan tempat, akan tetapi akan beriman dengan ayat mutasyabihat tanpa mentafsirkan maksudnya, maka itulah pegangan Ulama' Salaf dari kalangan Ahli Sunnah Wal-Jamaah yang sentiasamembersihkan sifat Allah SWT Yang Maha Agung daripada menyamai makhluk.
والله أعلم بالصواب