Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan Berkenaan Jiran
Menurut mafhum sebuah hadis Rasulullah SAW, jiran adalah 40 buah rumah yang berada di hadapan, belakang, kiri dan kanan rumah kita. Persoalannya, bagi mereka yang tinggal di rumah flat atau apartment iaitu rumah yang berlapis-lapis, adakah jiran yang tinggal di atas dan bawah dikira sebagai jiran?
Sekian, terima kasih.
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد
Agama Islam amat menitikberatkan perkara-perkara berkaitan dengan kejiranan. Hal ini banyak diingatkan oleh junjungan besar Nabi Muhammad SAW melalui hadisnya yang menyeru agar berbuat baik kepada jiran tanpa mengira agama, bangsa dan warna kulit. Di antara dalil al-Quran dan hadis yang menceritakan akan kepentingan berlaku baik kepada jiran, seperti mana dalam surah an-Nisa' ayat 36:
وَاعْبُدُوا اللَّهَ وَلا تُشْرِكُوا بِهِ شَيْئاً وَبِالْوَالِدَيْنِ إِحْسَاناً وَبِذِي الْقُرْبَى وَالْيَتَامَى وَالْمَسَاكِينِ وَالْجَارِ ذِي الْقُرْبَى وَالْجَارِ الْجُنُبِ
Maksudnya: “Dan hendaklah kamu beribadat kepada Allah dan janganlah kamu sekutukan Dia dengan sesuatu apa jua; dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa, dan kaum kerabat, dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, dan jiran tetangga yang dekat, dan jiran tetangga yang jauh.”(Surah an-Nisa' : 36)
Antara hadis daripada Abi Syuraih RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ فَلْيُحْسِنْ إِلَى جَارِهِ
Maksudnya: “Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia berbuat baik kepada jirannya.” (Riwayat Muslim)
Adapun berkaitan mafhum hadis yang tuan nyatakan adalah seperti berikut:
حقُّ الجوارِ إلى أربعينَ دارًا ، وَهَكذا وَهَكذا وَهَكذا يمينًا وشمالًا وقدَّامَ وخلفَ
Maksudnya: “Hak jiran adalah sehingga kepada 40 buah rumah, begini, begini, dan begini. Ke arah kanan, kiri, hadapan, dan belakang.”( Riwayat Abu Daud )
Status hadis ini sangat lemah sebagaimana dinukilkan oleh Syeikh Mashhūr bin Ḥasan Āl Salmān حفظه الله dalam kitab himpunan hadis-hadis lemah dan palsu beliau berjudul Silsilah al-Aḥādīth al-Ḍa‘īfah wal-Mawḍū‘ah Mujarradah ‘An al-Takhrīj . Pun begitu. kita dituntut untuk berlaku baik kepada jiran kerana tuntutan tersebut datang daripada al-Quran dan juga hadis Nabi SAW. Berkaitan rumah atas dan bawah di kediaman apartment atau flat juga termasuk dalam jiran kita yang perlu kita menjaga hak-hak mereka sebagai jiran.
والله أعلم بالصواب