Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum,
Saya ingin bertanya untuk suami saya. Beliau sedang dalam proses menuntut hak penjagaan 4 orang anak lelaki dari bekas isterinya. Tetapi, niatnya untuk menuntut hak penjagaan tidak disokong oleh ibu kandung suami di mana ibu kandung suami tidak setuju untuk kami menjaga semua anak. Kini, suami di dalam dilema sama ada teruskan niat mengambil anak atau mengikut kata ibunya. Abangnye menuduh nya sebagai kurang ajar kerana tidak mahu mengikut kata ibunya, sedangkan anak2 adalah tanggungjawab suami. Anak2 berusia 13, 10, 10 dan 5 tahun. Adakah suami saya derhaka kepada ibunya sekiranya dia meneruskan niatnya untuk tuntut hak jagaan anak? Mohon dapat dijelaskan agar kami dapat membuat keputusan yang baik untuk semua.
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
..الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد
Merujuk kepada persoalan yang diajukan, di dalam membicarakan hak penjagaan anak, menurut syarak, sebagai mana yang diperuntukkan di dalam ENAKMEN UNDANG-UNDANG KELUARGA ISLAM (NEGERI SELANGOR) 2003, ibu kepada anak-anak merupakan orang yang paling layak dan berhak mendapat hak penjagaan anak.
Seksyen 82. Orang yang berhak menjaga kanak-kanak:
(1) Tertakluk kepada seksyen 83, ibu adalah yang paling berhak dari segala orang bagi menjaga anak kecilnya dalam masa ibu itu masih dalam perkahwinan dan juga selepas perkahwinannya dibubarkan.
Walau bagaimanapun, tanggungjawab memberi nafkah kepada anak-anak adalah tanggungjawab bapa walaupun hak penjagaan diberi kepada ibu sehingga anak-anak itu mencapai umur mampu untuk berdikari menurut adat kebiasaan. Perkara tersebut termaktub di dalam:
Seksyen 73. Kewajipan menanggung nafkah anak
(1) Kecuali jika sesuatu perjanjian atau sesuatu perintah Mahkamah memperuntukkan selainnya, maka adalah menjadi kewajipan seseorang lelaki menanggung nafkah anaknya, sama ada anak itu berada dalam jagaannya atau dalam jagaan seseorang lain, sama ada dengan mengadakan bagi mereka tempat tinggal, pakaian, makanan, perubatan dan pelajaran sebagaimana yang munasabah memandang kepada kemampuan dan taraf kehidupannya atau dengan membayar kosnya.
Niat suami puan untuk bertanggungjawab kepada anak-anak adalah suatu sikap yang terpuji. Namun, dari segi hak penjagaan anak, orang yang paling berhak adalah ibu kepada anak-anak tersebut. Melainkan seandainya terdapat perkara yang menyebabkan ibu hilang kelayakan terhadap hak penjagaan, perkara tersebut boleh dibawa kepada pihak mahkamah.
Undang-Undang turut memperuntukkan bahawa apabila anak-anak mencapai umur mumayyiz, pihak mahkamah boleh memberikan pilihan kepada anak tersebut untuk memilih sama ada untuk tinggal bersama ibu atau bapa. Apa yang perlu diambil perhatian adalah kebajikan serta kemaslahatan anak-anak itu sendiri apa yang terbaik untuk mereka.
والله أعلم بالصواب