BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum.

Saya ada sedikit kemusyiklan dan ingin menanyakan beberapa soalan:

1) Apakah cara yang betul dan terbaik untuk menyucikan pakaian bernajis dan tidak bernajis dlm satu cucian apabila menggunakan mesin basuh? Adakah dengan hanya menggunakan mesin basuh baju yg selesai dibasuh dikira suci? Kerana kaedah penyucian menggunakan mesin basuh tu, air paip (air mutlak) mendatangi ke atas pakaian yg bernajis dan tidak bernajis sehingga penuh menutupi semua pakai dan diratakan menggunakan mesin dan selepas itu bru dimasukkan sabun.

2) Perlukan kita menggangap mana mana bilik air atau toilet itu suci daripada najis sekiranya tiada ain yg kita nampak dr mata kasar walaupun pada hakikatnya terdapat najis di kawasan/barang/tempat yang disentuh dalam toilet tersebut dan digunakan dari pelbagai jenis manusia yg lain lain cara. 
 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada persoalan yang diutarakan:

1) Apakah cara yang betul dan terbaik untuk menyucikan pakaian bernajis dan tidak bernajis dlm satu cucian apabila menggunakan mesin basuh? Adakah dengan hanya menggunakan mesin basuh baju yg selesai dibasuh dikira suci? Kerana kaedah penyucian menggunakan mesin basuh tu, air paip (air mutlak) mendatangi ke atas pakaian yg bernajis dan tidak bernajis sehingga penuh menutupi semua pakai dan diratakan menggunakan mesin dan selepas itu bru dimasukkan sabun.

Jawapan:

Membasuh pakaian dengan menggunakan mesin basuh automatik adalah suci kerana ia menepati hukum syarak dalam bab menyucikan pakaian. Ini bertepatan dengan apa yang disebut oleh para fuqaha di dalam kitab dan fatwa yang muktabar.

Metod basuhan yang menggunakan mesin basuh automatik adalah menepati dua kaedah basuhan yang disarankan oleh fuqaha Shāfi‘iyyah iaitu;

a) Penggunaan air mutlak yang bersih walaupun kurang daripada dua kolah.

b) Berlakunya proses kemasukan air (murur al-mā’) ke dalam pakaian yang dimasukkan lebih awal dalam drum mesin basuh dan mesin dobi, bukan sebaliknya. 

c) Terbukti berlakunya bilangan (adad) basuhan air beberapa kali untuk menghilangkan kesan najis. Pertukaran air basuhan pertama akan dikeluarkan sebelum air baharu dimasukkan bagi putaran kali kedua.

c) Pakaian telah dikeringkan secara putaran (spinning) setelah selesai basuhan berdasarkan mod yang ditetapkan pada kedua-dua mesin. Proses putaran ini menepati kaedah perahan (i’sar) pakaian yang dihukumkan sunat oleh Shāfi‘iyyah dan wajib menurut Hanafiyyah.

d) Dari segi pengesanan zat najis dan jenis kesannya, didapati;

  • i) Kesan najis iaitu bau, warna dan rasa telah hilang sepenuhnya.
  • ii) Kewujudan kesan warna yang masih samar-samar disebabkan kesukaran menghilangkannya dimaafkan oleh syarak atas faktor mashaqqah.
  • Setiap pakaian yang telah hilang semua kesan najis khususnya kategori mutawaṣṣiṭah adalah dihukumkan bersih sekiranya semua kesan tersebut dapat dihilangkan dengan mudah.
  • Jika sukar dihilangkan selepas dibasuh dengan sabun (contoh) seperti kesan darah, pakaian tersebut dihukum bersih dengan dimaafkan (diberikan kelonggaran) pada kesan yang berbekas

Berasaskan prinsip-prinsip di atas, kenyahwujudan najis pada pakaian yang dibasuh menggunakan mesin basuh itu sewajarnya telah dianggap bersih dalam konteks ṭahārah sebagai syarat sah ibadat solat, bukan sekadar menghilangkan kotoran najis (izālah al-najāsah) semata-mata.

Manakala bagi penggunaan mesin basuh separa automatik hendaklah memenuhi beberapa syarat seperti berikut:

1. Pakaian dikeluarkan daripada mesin basuh dan dibilas dengan air mutlak, atau

2. Pakaian dijirus dengan air mutlak dalam pada masa yang sama laluan air keluar di mesin basuh dibuka sehingga air melalui semua pakaian tersebut,atau

3. Pakaian yang telah dibasuh dipindahkan ke tempat pengering dan pada masa yang sama dilalukan air sehingga air mengenai semua pakaian tersebut dan laluan air keluar perlu dibuka supaya air tidak bertakung.

Adalah disarankan agar pakaian yang terkena najis dihilangkan atau dibersihkan najisnya terlebih dahulu dan dibasuh dengan dialirkan air mutlak pada tempat yang terkena najis. Seterusnya boleh dimasukkan ke dalam mesin basuh untuk dibasuh bersama-sama dengan pakaian yang lain. Untuk maklumat lebih lanjut pihak saudara boleh merujuk  garis panduan yang diterbitkan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor di pautan berikut: 

https://www.muftiselangor.gov.my/images/pdf/Garis%20Panduan%20&%20Penerbitan/Hukum%20Cucian%20Menggunakan%20Mesin%20Basuh%20Automatik%20dan%20Separa%20Automatik.pdf

2) Perlukan kita menggangap mana mana bilik air atau toilet itu suci daripada najis sekiranya tiada ain yg kita nampak dr mata kasar walaupun pada hakikatnya terdapat najis di kawasan/barang/tempat yang disentuh dalam toilet tersebut dan digunakan dari pelbagai jenis manusia yg lain lain cara.

Jawapan:

Sebarang ketidakpastian sesuatu perkara berkaitan terdapatnya najis atau tidak maka ia kekal tidak bernajis sehingga dapat dipastikan dengan yakin terdapatnya najis. Ini dikuatkan dengan kaedah Fiqh yang berbunyi:

الْأَصْلُ بَقَاءُ مَا كَانَ عَلَى مَا كَانَ

Bermaksud: Pada asasnya, (hukum) sesuatu itu kekal mengikut keadaan (hukum) asalnya.

Hukum asal sesuatu itu adalah suci, maka ia akan terus kekal suci. Manakala najis itu sifat atau keadaan yang mendatang, maka ia perlu dibuktikan dengan keyakinan, dan bukan ragu-ragu. 

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2022
Jumlah Pelawat : 296

message user image