Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum, kalau yakin ada batal puasa ramadhan, tapi was2 dh ganti ke belum, dan saya juga was2 puasa yang batal itu puasa tahun lepas atau 2,3 tahun lepas. Apa yang perlu saya buat? Perlu qadha? Perlu fidyah? Terima kasih.
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاتة
الحمدلله رب العلمين والصلاة والسلام علي أشرف الأنبياء المريلين وعلي أله وصحبه أجمعين أما بعد
Merujuk kepada persoalan saudara, perkara utama yang perlu dilakukan ialah dengan mencatat bilangan puasa yang telah batal sama ada secara sengaja atau sebaliknya. Itulah pentingnya kita merekod dan membuat catatan. Sama ada ditulis dalam buku, taip dalam note telefon dan sebagainya. Banyak kaedah dan medium yang boleh diguna untuk mengingatkan sesuatu perkara agar tidak was-was.
Setiap puasa yang batal wajib diqada'. Oleh kerana saudara merasa was-was sama ada telah menggantikan atau belum, maka puasa itu dianggap sebagai belum diganti. Ini berdasarkan kepada kaedah Fiqah:
اليَقِين لَا يُزَالُ بِالشَّكّ
Maksudnya: Keyakinan tidak dapat dihilangkan dengan syak (keraguan).
Contoh kiraan fidyah :
Jika puasa yang kena ganti ada 5 hari, didarab dengan RM1.70 (nilai secupak beras @ ikut harga semasa) = jumlah, didarab dengan 3 tahun lepas (ambil yang lebih tinggi sebagai berjaga-jaga) = jumlah.
(5 hari x RM1.70 = RM8.50 x 3 tahun = RM25.50). Jadi bayaran wajib fidyah ialah RM25.50 sahaja. Bayaran fidyah tidak melangsaikan hutang puasa. Puasanya tetap wajib diganti sebelum meninggal dunia.
Semoga kita diberikan kekuatan dan kesihatan untuk mengqada' puasa dan terus mentaati segala perintah Allah SWT
والله أعلم بالصواب