Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum Tuan,
Saya sebelum ini mempunyai masalah haid yang tidak teratur, ketika itu, saya mengikuti kaedah 15 hari haid, 15 hari istihadah akibat haid saya yang berterusan dan tidak teratur. Namun, setelah saya masuk umur 20 tahun, saya baru mendapat ilmu haid menilai haid saya dengan betul. Dan saya mendapati kaedah penentuan haid saya sebelum ini terdapat kesalahan disebabkan oleh kejahilan ilmu haid. Soalan saya, bagaimana ibadah solat dan puasa saya yang sebelum ini? Adakah wajib ke atas saya untuk qadha' solat dan puasa saya sebelum ini? Jika saya perlu qadha' puasa, adakah saya juga wajib membayar fidyah? Sekian, terima kasih.
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاتة
الحمدلله رب العلمين والصلاة والسلام علي أشرف الأنبياء المريلين وعلي أله وصحبه أجمعين أما بعد
Berdasarkan kenyataan dan gambaran yang diberikan, ibadah solat dan puasa saudari pada masa lalu tidak perlu diqadha atau dibayarkan fidyah. Hukumnya dimaafkan kerana ketika itu saudari telah melaksanakan tanggungjawab solat serta puasa berdasarkan pengetahuan saudari yang pada pandangan saudari adalah benar. Tambahan pula ia merupakan suatu proses pembelajaran yang dimaafkan. Ini berdasarkan kepada hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA berkata:
أن رسول الله صلى الله عليه وسلم دخل المسجد، فدخل رجل فصلى، فسلم على النبي صلى الله عليه وسلم فرد النبي عليه الصلاة والسلام فقال: ارجع فصلى، فإنك لم تصل. فرجع يصلي كما صلى، ثم جاء، فسلم على النبي صلى الله عليه وسلم، فقال: ارجع فصل فإنك لم تصل). ثلاثا، فقال: والذي بعثك بالحق، ما أحسن غيره، فعلمني قال: (إذا قمت إلى الصلاة فكبر، ثم اقرأ ما تيسر معك من القراَن، ثم اركع حتى تطمئن راكعا، ثم ارفع حتى تعتدل قائما، ثم اسجد حتى تطمئن ساجدا، ثم ارفع حتى تطمئن جالسا، ثم اسجد حتى تطمئن ساجدا، ثم افعل ذلك في صلاتك كلها
Bermaksud: Bahawa [pada suatu hari] Rasulullah SAW masuk ke dalam masjid. Kemudian, seorang lelaki masuk [ke dalam masjid], lalu bersolat dan memberi salam kepada Nabi SAW [setelah selesai bersolat]. Baginda SAW menjawab [salamnya] dan bersabda, "pergi [semula ke tempat solat] dan bersolatlah [sekali lagi] kerana kamu belum [lagi] bersolat". Lantas, dia kembali [melakukan] solat sebagaimana dia solat [sebelumnya]. Kemudian, [setelah selesai solat] dia datang [semula], lalu memberi salam kepada Nabi SAW. Lantas Baginda SAW bersabda, "pergi [semula ke tempat solat] dan bersolatlah [sekali lagi] kerana kamu belum [lagi] bersolat" [Baginda SAW berkata sedemikian sebanyak] tiga kali. Lalu dia berkata, "demi [Allah] yang mengutuskanmu dengan kebenaran, aku tidak pandai melakukan selainnya, maka ajarkanlah aku [cara solat yang betul]". Lantas Baginda SAW bersabda, "apabila kamu [telah] berdiri [untuk melakukan] solat, maka bertakbirlah. Kemudian, bacalah apa yang kamu mampu daripada [ayat-ayat] al-Quran. Kemudian, rukuklah sehingga kamu bertama'ninah dalam rukuk. Kemudian, angkatlah [kepala kamu] sehingga [badan] kamu berdiri dengan lurus. Kemudian, sujudlah sehingga kamu tama'ninah dalam sujud. Kemudian, angkatlah [kepala kamu] sehingga kamu tama'ninah dalam keadaan duduk [antara dua sujud]. Lakukanlah [yang demikian] itu dalam keseluruhan solat kamu".
(Riwayat Al-Bukhari)
Apa yang boleh difahami adalah Rasulullah SAW tidak menyuruh lelaki tersebut untuk mengulangi atau mengqada' solat yang terdahulu yang berkemungkinan besar turut tidak sah.
والله أعلم بالصواب