Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Salam alayk ustaz. Maaf saya nak bertanya tentang hutang si mati. Si mati ada berhutang dengan si fulan sebanyak 20 mayam emas lebih kurang 15 tahun yang lalu. Si mati ambik emas tersebut dan gadai. Masalah timbul apabila, jumlah gadaian dan segala surat menyurat berkenaan gadaian, ahli keluarga tak tahu dan tak jumpa. Sekarang, ahli keluarga tak pasti mcm mana nak selesaikan hutang 15 tahun yang lalu, kiraan yang harus dibayar bagaimana ustaz? Mohon penjelasan dan bantuan dari ustaz. Adakah ahli keluarga perlu tukarkan nilai 20 mayam itu ke gram dan bayar mengikut harga semasa emas harini walaupon harga emas sangat berbeza 15 tahun yang lalu. Terima kasih ustaz.
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
الحمد لله رب العالمين الصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وأصحابه أجمعين ، أما بعد
Membayar hutang merupakan suatu perkara wajib. Hadis riwayat Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda;
نفس المؤمن مُعَلّقة بدَيْنِه حتى يُقْضى عنه
Maksudnya: Jiwa seorang mukmin itu tergantung dengan hutangnya sehingga dilunaskannya.
(Riwayat al-Tirmizi)
Merujuk kepada soalan yang diajukan, hutang yang ditanggung oleh si mati wajib dibayar menggunakan harta pusaka peninggalan si mati. Sekiranya hutang tersebut sebanyak 20 mayam emas, maka perkara yang sama wajib dibayar kepada pihak yang memberi hutang kepadanya.
Imam al-Syirazi menyatakan dalam kitab Muhazzab;
ويجب على المستقرِض ردُّ المثل فيما له مثل؛ لأن مقتضى القرض: رد المثل
Maksudnya: Dan wajib ke atas orang yang berhutang untuk membayar semula seperti yang dihutangkan kerana asas kepada hutang adalah memulangkan seperti yang dihutangkan.
Jumlah yang sama wajib dibayar semula iaitu 20 mayam emas. 1 mayam bersamaan 3.37 gram. 20 mayam x 3.37 gram = 67.4 gram emas, tanpa melihat kepada kenaikan atau penyusutan nilai atau harga emas.
والله أعلم بالصواب