Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum,
Saya ingin bertanya berkenaan kisah ibu saya. Awal cerita bermula lebih kurang 25 tahun lepas. Arwah ayah saya telah menebus barang emas gadaian arwah makcik saya beberapa bulan sebelum barang kemas itu bakal dipindah hak milik kerana masa itu arwah makcik memerlukan wang bagi menampung anak-anaknya. Barang kemas itu telah disimpan oleh ibu saya menunggu sekiranya makcik saya mampu menebus kembali barang kemas tersebut yang dimasa itu nilai gadaian rm160. Selang beberapa tahun, mak cik saya meninggal dunia dan anak-anaknya telah berpindah. Sekarang, ibu sudah pun berusia 80 tahun..dia tidak mahu menyimpan barang kemas itu lagi dan ibu mahu tahu sekiranya dia ingin anak-anak makcik saya mengambil semula atau membeli barang kemas itu dgn nilai emas semasa, adakah itu dikira riba. Apakah cara terbaik yang boleh diberikan?
Terim Kasih.
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاتة
الحمدلله رب العلمين والصلاة والسلام علي أشرف الأنبياء المريلين وعلي أله وصحبه أجمعين أما بعد
Berdasarkan kepada pernyataan yang dinyatakan oleh saudari, dapat difahami bahawa yang sebenarnya arwah makcik dikira masih berhutang dengan ibu saudari. Ini kerana, arwah ayah saudarilah yang telah menebus kembali barang emas gadaian arwah makcik kerana beliau tidak mampu menebusnya disebabkan memerlukan wang untuk menampung keperluan anak-anaknya pada waktu itu. Jadi, barang kemas itu dijadikan tebusan. Oleh kerana barang kemas itu masih tidak ditebus oleh makcik (semasa masih hidup) dalam tempoh tertentu, maka ibu boleh memilih beberapa kaedah sebagai cara penyelesaian;
1. Meminta waris, iaitu anak-anak arwah makcik membayarkan hutang bagi pihak arwah ibunya iaitu sejumlah bayaran yang sama nilainya semasa arwah ayah saudari menebuskan barang emas gadaian makcik iaitu berjumlah RM160. Setelah hutang dilunaskan, pulangkan semula barang kemas yang disimpan oleh ibu kepada anak-anak arwah makcik.
2. Kaedah lain ialah, jika mereka tidak mampu untuk membayar hutang, maka barang kemas itu perlu dijual mengikut nilai semasa, hasil jualan itu ditolak dengan hutang dahulu dan jika ada baki, baki itu diserah kepada anak-anak makcik. Tetapi jika setelah dijual, hasil jualan itu tidak mencukupi untuk membayar hutang, maka anak-anak arwah makcik digalakkan untuk mencukupkan baki untuk membayar hutang itu sahaja. Mudah-mudah perkara ini dapat diselesaikan dengan baik dan semua pihak berlapang dada dan tenang hati.
Begitulah pentingnya bagi kita menjaga silaturahim dalam Islam, malah Allah SWT menjanjikan ganjaran besar untuk orang yang sentiasa menjaga hubungan itu. Rasulullah SAW bersabda dalam sebuah hadis diriwayatkan Anas bin Malik RA yang bermaksud: “Sesiapa yang ingin dipermudahkan rezekinya dan ditangguhkan ajalnya (dipanjangkan umurnya) maka hendaklah dia menyambungkan tali persaudaraan (silaturahim).”[ Riwayat al-Bukhari dan Muslim.]
والله أعلم بالصواب