Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Salam, boleh tak saya nak gugurkan hak ayah saya sebagai wali ? disebabkan ayah kandung dan ibu tiri saya telah berlaku zalim kat dalam hidup saya . Saya dah paksa hati saya untuk terima dan hormat mereka sebagai ibu dan abah saya .Saya dah cuba . Tetapi apa yang saya lalui dalam hidup ini disebabkan mereka ,terlalu perit untuk saya telan . Saya yakin islam merupakan agama yang adil dan agama yang tidak menindas .Saya tak boleh terima kalau ayah saya yang jadi wali saya .
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد
Merujuk kepada soalan yang diajukan, pewalian nikah adalah suatu hak mahupun ketentuan yang telah ditetapkan oleh Allah SWT. Seorang bapa adalah bertanggungjawab untuk mewalikan perkahwinan anak perempuannya apabila telah tiba masanya. Ada pun perbuatan bapa yang tidak bertanggungjawab kepada anak tidak menjadi sebab hilang atau gugur hak pewalian. Walau bagaimanapun, hak pewalian bapa akan gugur atau berpindah kepada wali yang lain di dalam beberapa keadaan seperti berikut:
1. Hak pewalian bapa akan gugur dan berpindah kepada wali seterusnya (wali al-ab'ad) iaitu datuk atau abang sekiranya datuk tiada, sekiranya hilang kelayakan sebagai wali seperti murtad, gila, nyanyuk atau terlalu tua yang telah hilang daya pemikirannya.
2. Apabila bapa enggan untuk menikahkan anak perempuannya tanpa ada sebab yang diharuskan menurut syarak, maka pewalian akan berpindah kepada wali hakim.
3. Apabila terdapat halangan kepada bapa untuk hadir ke majlis akad nikah dijalankan, hilang atau jarak di antara bapa dan anak perempuannya melebihi 2 marhalah iaitu lebih kurang 90 km, anak perempuan tersebut boleh meminta untuk berkahwin dengan berwalikan wali hakim, dengan syarat bahawa lelaki yang hendak dikahwini adalah sekufu dengannya.
والله أعلم بالصواب