Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Salam,
Saya ada soalan, adakah melabur saham melalui aplikasi OctaFX yang banyak diwawarkan diTV and diYouTube halal?
Sekian
Jawapan
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد
Istilah FOREX merupakan singkatan kepada Foreign Exchange yang juga disebut sebagai FOREX, FX dan pasaran matawang digunakan untuk merujuk kepada perdagangan di pasaran matawang oleh para pelabur dan spekulator. Ia merangkumi semua aspek termasuk beli, jual dan tukar matawang pada harga semasa atau harga yang ditetapkan. FOREX adalah pasaran global yang terdesentralisasi, di mana aktiviti memperdagangkan matawang suatu negara dengan matawang suatu negara lain. Dari segi volume pasaran, FOREX adalah salah satu dari pasaran kewangan terbesar di dunia untuk perdagangan pelbagai matawang. Ia membantu pelaburan dan perdagangan antarabangsa melalui transaksi pertukaran asing
Hasil semakan yang dilakukan, OCTAFX merupakan salah satu platform pelaburan forex. Dalam menjelaskan perkara ini, ingin kami tegaskan bahawa pelaburan tukaran mata wang asing atau forex diputuskan haram kerana ia melibatkan harta ribawi iaitu mata wang dan mengandungi unsur-unsur riba. Selain daripada itu, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) ke 98 yang bersidang pada 13-15 Februari 2012 juga telah memutuskan bahawa pelaburan forex adalah haram.
Dalam menjelaskan perkara ini, Muzakarah menegaskan bahawa operasi perdagangan pertukaran mata wang asing (forex) hendaklah bebas daripada sebarang unsur riba, elemen al-Salaf wa al-Bay (pemberian hutang dengan syarat dilakukan transaksi jual beli), unsur perjudian, gharar yang berlebihan dan kezaliman atau eksploitasi.
Berdasarkan kajian terperinci yang telah dilakukan, Muzakarah mendapati bahawa perdagangan pertukaran mata wang asing (forex) oleh individu secara lani (individual spot forex) melalui platfom elektronik mengandungi unsur-unsur seperti riba melalui pengenaan rollover interest, pensyaratan jual beli dalam pemberian hutang melalui leverage, qabd yang tidak jelas ketika transaksi pertukaran, penjualan mata wang yang tiada dalam pegangan dan spekulasi yang melibatkan perjudian. Selain itu ianya juga tidak sah dari sisi undang-undang Kerajaan Malaysia.
Muzakarah juga menegaskan bahawa keputusan yang diputuskan ini tidak terpakai ke atas urus niaga pertukaran mata wang asing menerusi kaunter di pengurup wang berlesen dan urus niaga pertukaran mata wang asing yang dikendalikan oleh institusi-institusi kewangan yang dilesenkan di bawah undang-undang Malaysia. Ini adalah kerana pertukaran wang dilakukan dalam bentuk fizikal dan secara lani (on the spot).
والله أعلم بالصواب
Sekian, terima kasih.