Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Salam tuan mufti. Saya ingin bertanya soalan. Air mazi adalah najis, dan apabila sudah menjadi kering, dan tidak kelihatan, ia menjadi najis hukmi bukan? Najis hanya akan berpindah jika disentuh dengan tangan yang basah. Jadi saya hendak bertanya, jika cadar saya mempunyai air mazi yang sudah kering yang saya tidak pasti di mana, dan saya juga tidak menukar cadar tersebut beberapa hari. Lalu datang rakan saya duduk di atas cadar tersebut. Selepas itu rakan saya memegang al-quran yang mempunyai terjemahan. Walaupun saya berada di situ, saya tidak tahu jika rakan saya menyentuh tempat terkena air mazi dan saya juga tidak ingat jika tangan beliau dalam keadaan basah atau tidak. Oleh itu, adakah najis tersebut terpindah ke al-quran tersebut? Saya berasa runsing kerana tidak pasti jika al-quran tersebut terkena najis atau tidak dan menyucikan al-quran tersebut menggunakan air akan menyebabkan al-quran tersebut rosak. Al-quran tersebut adalah hadiah ulangtahun daripada keluarga saya.
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه
Merujuk kepada persoalan saudara, najis hukmi adalah najis yang tidak boleh dilihat zat atau sifatnya sepertimana air mazi yang sudah kering dan tidak lagi kelihatan sifatnya.Sesuatu najis yang kering tidak akan memindahkan sifatnya kepada sesuatu yang kering, kerana najis hanya berpindah ketika bersifat lembap atau basah. Ini jelas merujuk kepada kaedah fiqh;
النَّجِسُ إذَا لَاقَى شَيْئًا طَاهِرًا وَهُمَا جَافَّانِ لَا يُنَجِّسُهُ
Maknanya: “Jika najis menyentuh sesuatu yang suci, sedangkan kedua-duanya kering, maka najis itu tidak memberi kesan padanya”.
Berdasarkan kepada situasi yang dinyatakan jelas tiada kepastian sama ada terdapat sentuhan pada najis atau tidak dan tiada kepastian sama ada dalam keadaan basah atau kering. Dalam keadaan ini maka tiada keperluan untuk menyucikan al-Quran tersebut. Sebagai langkah berhati-hati maka sucikanlah tempat-tempat yang diyakini terdapat padanya najis pada kadar yang segera agar najis tersebut tidak tersebar ke tempat yang lain yang akan lebih menyusahkan untuk menyucikannya.
والله أعلم بالصواب