BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Soalan: Assalamualaikum ustaz, soalan saya berkenaan malam lailatul kadar. Pada bulan Ramadhan setiap malam melakukan solat terawih, adakan boleh dikatakan telah memperolehi pahala malam lailatul kadar? Jika ya, tak perlulah kita mencari/mengejar malam lailatul kadar tu. Tetapi hampir setiap tahun, ramai ustaz bila kupas tentang malam lailatul kadar ni selalu sebut mencari atau mengejar malam tersebut. Tolong bagi penjelasan.


message user image

Jawapan  

Merujuk kepada persoalan tuan, firman Allah SWT yang bermaksud : “Sesungguhnya Kami telah menurunkan al-Quran itu pada malam al-Qadar. Apakah cara yang membolehkan engkau mengetahui kebesaran lailatul qadar itu? Lailatul qadar ialah malam yang paling baik berbanding seribu bulan. Pada malam itu, para malaikat dan Jibril turun dengan izin Tuhan mereka membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun berikutnya). Sejahterakanlah malam yang berkat itu hingga terbit fajar” (al-Qadr : 1-5) Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Aisyah R.ha katanya: كان رسول الله ﷺ اذا دخل العشر احيا الليل وايقظ اهله وجد وشد المئزر Maksudnya : “Adalah Rasulullah SAW apabila memasuki sepuluh terakhir Ramadhan, menghidupkan seluruh malam, menggerakkan kaum keluarganya malam hari untuk beribadah, tekun beramal dan mengikat kain (iaitu tidak menggauli isterinya)”. (Riwayat Muslim) Saidatina Aisyah R.ha turut meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud : “Bersedialah dengan bersungguh-sungguh untuk menemui Lailatul Qadar pada malam ganjil 10 malam akhir Ramadhan” (Riwayat al-Bukhari) Kedua-dua hadis ini menjadi panduan dan sebagai suatu perangsang kepada seluruh umat mukmin supaya berebut-rebut untuk mencari pahala dan ganjaran malam al-Qadar bermula dari maghrib sampailah ke waktu subuh dengan melipatgandakan amal ibadat pada malam-malam akhir bulan Ramadhan ini. Hikmah malam penuh berkat itu dirahsiakan supaya setiap orang Islam bersungguh-sungguh menghayati 10 malam terakhir Ramadhan dengan amal ibadat dan memberi pengharapan yang tinggi kepada Allah SWT supaya dapat bertemu malam berkenaan seterusnya beroleh kebaikan dan penghapusan dosa sebagaimana tersebut. Ibadah yang dimaksudkan adalah memperbanyakkan solat sunat, beriktikaf, bersedekah, membaca al-Quran, beristighfar, berzikir dan berdoa kepada Allah SWT semoga diterima segala amalan dan dimakbulkan segala doa. Solat terawih merupakan sebahagian ibadah yang kita boleh lakukan sebagaimana juga malam-malam bulan Ramadhan yang lain. Dalam mengejar lailatul qadar sebolah-bolehnya kita tidak meninggalkan solat sunat terawih pada 10 malam akhir Ramadhan yang mana pada kebiasaannya masjid-masjid dan surau telah mula berkurangan jemaahnya disebabkan sibuk membuat persiapan menyambut hari raya. Selain memperbanyakkan ibadah-ibadah sunat yang lain. Daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud : “Sesiapa menghayati malam Lailatul qadar dengan mengerjakan solat (dan pelbagai ibadat lain), sedang dia beriman dan mengharapkan rahmat Allah Taala, nescaya dia diampunkan dosanya yang lalu”. (Riwayat al-Buhkari) Marilah kita beramai-ramai memeriahkan suasana 10 malam terakhir Ramadhan dengan beribadat kepada Allah SWT dengan ikhlas dan penuh keimanan, mudah-mudahan kita dapat kurniaan Allah yang kelebihannya pahalanya melebihi seribu bulan atau bersamaan 83 tahun umur kita. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2018
Jumlah Pelawat : 180

message user image