BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

Masalahnya begini, sy & suami pernah bercerai 2 kali. Sebelum itu kami bernikah di songhkla & telah mendaftarkan pernikahan di jabatan agama negeri selangor. Kami menggunakan wali hakim disana. Berlaku perceraian pd 2014, dan setelah habis eddah 5 bln kemudian kami sepakat utk menikah semula. Semasa itu kami ada berjumpa dgn ayah kandung sy & bagitahu nak menikah...ayah tiada halangan, cuma kami tidak menyatakan bila tarikh nak menikah semula ( jarak tempat tinggal ayah lebih 2 marhalah). Seminggu kemudian, kami dinasihatkan oleh abg kandung (jarak rumah abg & rumah sy kurang 2 marhalah) sy utk segera bernikah demi mengelak cakap2 buruk jiran tetangga. Selang beberapa hari kami dinikahkan oleh abg kandung sy bersaksikan ahli keluarga tanpa kehadiran ayah kandung sy (ayah sy tidak dimaklumkan tentang pernikahan ini). Untuk pengetahuan ustaz, suami saya berpoligami, sy isteri ke-2, jadi urusan pernikahan semula ini menjadi rahsia & tidak didaftarkan. Sy ada terbaca & pernah menonton beberapa petikan video tentang turutan wali. Sejak itu hati sy tak tenteram. Baru2 ini sy menunaikan umrah & sekembalinya sy dr Makkah, sy mohon suami check status pernikahan kami. Kerana sy sgt ragu2, & sy juga rasa sgt menyesal tidak mengambil berat isu turutan wali. Abang sy melafazkan 'saya nikahkan adinda sy.....' tanpa menyebut wakil wali bapa. Adakah sah nikah sy ustaz? Klu tak sah, maksudnya perlu difaraqkan, adakah boleh kami bernikah semula? Kerana kami dh 2 kali bercerai....adakah yg difaraqkan ini dikira cerai kali ke-3? Semoga dpt merungkai persoalan, terima kasih.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

1. Pernikahan puan menggunakan abang kandung sebagai wali pernikahan adalah tidak sah kerana wali mujbir iaitu bapa masih hidup dan masih mempunyai hak dan kelayakan sebagai wali. Keberadaan bapa lebih dari 2 marhalah menyebabkan kewalian nikah berpindah ke wali hakim dan tidak ke wali ab'ad (wali seterusnya selepas bapa), pada pandangan mazhab Syafi'i.

Berikut adalah susunan wali nasab perkahwinan yang telah difatwakan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor :

  • Bapa
  • Datuk (bapa kepada bapa) dan ke atas
  • Saudara lelaki seibu sebapa
  • Saudara lelaki sebapa
  • Anak saudara lelaki seibu sebapa
  • Anak saudara lelaki sebapa
  • Anak lelaki kepada saudara lelaki seibu sebapa ke bawah
  • Anak lelaki kepada saudara lelaki sebapa ke awah
  • Bapa saudara sebelah bapa seibu sebapa
  • Bapa saudara sebelah bapa sebapa
  • Anak lelaki bapa saudara sebelah bapa seibu sebapa (sepupu)
  • Anak lelaki bapa saudara sebelah bapa sebapa (sepupu)
  • Anak lelaki sepupu seibu sebapa ke bawah
  • Anak lelaki sepupu sebapa ke bawah
  • Bapa saudara bapa sebelah bapa seibu sebapa (datuk saudara)
  • Bapa saudara bapa sebelah bapa sebapa (datuk saudara)
  • Anak lelaki datuk saudara seibu sebapa
  • Anak lelaki datuk saudara sebapa
  • Anak lelaki kepada anak lelaki datuk saudara seibu sebapa ke bawah
  • Anak lelaki kepada anak lelaki datuk saudara sebapa ke bawah
  • Bapa saudara datuk seibu sebapa (moyang saudara)
  • Bapa saudara datuk sebapa (moyang saudara)
  • Anak lelaki moyang saudara seibu sebapa
  • Anak lelaki moyang saudara sebapa
  • Anak lelaki kepada anak lelaki moyang saudara seibu sebapa
  • Anak lelaki kepada anak lelaki moyang saudara sebapa

Oleh yang demikian, setiap perkahwinan hendaklah memastikan susunan wali ini diikuti bagi memastikan keabsahan wali itu bertepatan dengan hukum syara'.

2. Pihak puan hendaklah dengan kadar segera melaporkan status pernikahan puan ke Mahkamah Syariah yang berhampiran bagi proses siasatan dan pengesahan status pernikahan tersebut secara rasmi.

3. Sekiranya pernikahan puan difaraqkan oleh pihak Mahkamah Syariah, maka puan dan pasangan boleh bernikah semula dengan akad nikah yang baru. Untuk makluman pihak puan, faraq nikah tidak dikira sebagai talak, sekiranya sebelum ini telah dua kali bercerai, maka dengan berlakunya faraq nikah, ia tidak menjadikan bilangan talak kepada talak tiga.

Kesimpulannya, dalam melaksanakan apa juga perkara terutama yang melibatkan hukum syara', kita hendaklah berhati-hati dan cermat yang membuat sebarang tindakan atau keputusan. Kerana ia melibatkan halal dan haram, sah atau tidak sah sesuatu ibadah atau tindakan kita tersebut. Jadikanlah institusi agama yang berautoriti sebagai rujukan utama sebelum melakukan sesuatu tindakan kita terutama dalam hal ehwal agama Islam.

والله أعلم بالصواب

 

 

 

 


Tahun Soalan : 2022
Jumlah Pelawat : 82

message user image