BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Salam tuan mufti. Saya ada keraguan berkaitan mesin basuh. Sudah bertahun-tahun keluarga saya mencuci pakaian menggunakan mesin basuh, dan juga dibasuh bersama pakaian yang terkena najis. Sebagai contoh, pakaian terkena kencing, ibu saya terus memasukkan pakaian bernajis tersebut bersama pakaian-pakaian lain. Akan tetapi kami tidak tahu bahawa hukum najis hukmi dan najis boleh berpindah. Oleh itu bukankah mesin basuh tersebut menjadi najis hukmi kerana mencuci pakaian bernajis? Jadi, kalau kita cuci baju-baju seterusnya, bukankah menjadi najis juga? Jika begitu, adakah kesemua baju dirumah saya menjadi najis walaupun berlaku semasa kita tidak tahu? 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada persoalan tuan, membasuh pakaian yang terkena najis dengan menggunakkan mesin basuh automatik adalah suci kerana ia menepati hukum syarak dalam menyucikan sesuatu pakaian. Begitu juga kain dan pakaian lain yang dibasuh bersekali dengan pakain yang  terkena najis tadi juga adalah suci.  

Dalam hal ini, ingin juga kami tegaskan bahawa, pakaian yang dicuci dengan menggunakan air yang bersih dan bahan-bahan pencuci yang boleh membersihkan, setelah melalui  proses penyucian sehingga tiada lagi kesan najis seperti  bau, rasa dan warna, maka  pakaian tersebut dikira sebagai bersih. Tidak diperintahkan oleh syara’ untuk kita membebani diri meneliti sesuatu proses pembersihan jika sudah terbukti cucian yang berlaku menghilangkan segala kesan najis.

Namun demikian, jika terbukti masih terdapat kesan najis selepas proses pembersihan menggunakan mesin basuh, maka pakaian tersebut dikira masih dikira sebagai bernajis. Namun jika kesan itu terlalu sukar untuk dihilangkan dan hanya sedikit seperti kesan warna darah atau warna najis yang tidak dapat dihilangkan maka ianya dimaafkan.

Bagi mengelakkan kesan najis di dalam penggunaan mesin basuh maka digalakkan seseorang memastikan pakaian yang dimasukkan itu dihilangkan ain najis itu terlebih dahulu. 

Untuk keterangan lanjut, pihak tuan boleh merujuk garis panduan penggunaan mesin basuh yang telah diwujudkan oleh jabatan ini. klik pautan di bawah:

https://www.muftiselangor.gov.my/images/pdf/Garis%20Panduan%20&%20Penerbitan/Hukum%20Cucian%20Menggunakan%20Mesin%20Basuh%20Automatik%20dan%20Separa%20Automatik.pdf

والله أعلم بالصواب

 


Tahun Soalan : 2022
Jumlah Pelawat : 127

message user image