Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum w.r.t,
Saya mewakili syarikat ingin mengemukakan pertanyaan seperti berikut.
Apakah hukumnya sekiranya syarikat menjalankan aktiviti pensijilan dan pelabelan untuk vape atau e-cigarrete bagi memastikan produk tersebut menepati keperluan standard kualiti dan keselamatan, sebelum pemohon/peniaga memasarkan produk-produk tersebut dipasarkan kepada orang ramai. Apakah hukumnya yuran bayaran / pendapatan yang diterima oleh pihak syarikat melalui aktiviti pensijilan dan pelabelan tersebut.
Diharapkan mendapat pencerahan hukum berkenaan perkara diatas.
Sekian, Terima kasih.
Rohana.
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد
Sebagaimana yang telah diputuskan dalam Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor kali 1/2016 yang bersidang pada 19 Januari 2016 memutuskan bahawa:
Penggunaan rokok elektronik dan vape adalah haram. Oleh itu, umat Islam adalah dilarang menghisap rokok elektronik dan vape atau apa-apa aktiviti yang berkaitan dengan rokok elektronik dan vape.
Berdasarkan kepada situasi pihak puan, sememangnya pekerjaan puan adalah baik iaitu memastikan segala produk yang dikeluarkan selamat untuk digunakan oleh para pengguna. Namun, ia bersalahan dengan fatwa Negeri Selangor dan juga negeri-negeri lain bahawa penggunaan rokok elektronik ini adalah HARAM. Di dalam surah al-Maidah, ayat 2, Allah SWT berfirman:
وَتَعَاوَنُوْا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوٰىۖ وَلَا تَعَاوَنُوْا عَلَى الْاِثْمِ وَالْعُدْوَانِ ۖوَاتَّقُوا اللّٰهَ ۗاِنَّ اللّٰهَ شَدِيْدُ الْعِقَابِ
Maksudnya: "Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu tolong-menolong pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan/permusuhan. Dan bertaqwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksa-Nya (bagi sesiapa yang melanggar perintah-Nya)".
Adalah disarankan pihak puan menjalankan perniagaan yang lebih menjamin dari sudut halal dan berkat dari Allah SWT.
والله أعلم بالصواب