BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

ASSALAMUALAIKUM 

Mohon pencerahan dari pihak mufti.. Berkenaan dengan bayaran zakat fitrah bagi seseorang yang telah meninggal dunia

 

Bertarikh 1 Muharam tahun lepas (2021) abang saya telah meninggal dunia.. Alhamdulillah semua perkara yang berkaitan dengan hutang kami berusaha untuk menyelesaikannya setakat yang ada dalam pengetahuan kami.

 

Namun baru baru ini ibu saya teringat bahawa arwah abang saya ada menceritakan yang dia tidak cukup wang pada bulan ramadhan tersebut (tahun 2021) dan dia tidak mampu untuk membayar zakat fitrah untuk dirinya dan keluarganya..  Ibu saya ketika itu juga terlupa untuk memberitahu kami semua adik beradik tentang perkara itu.

 

PERSOALANNYA 

1. Apakah status hukum terhadap arwah abg saya kerana kegagalannya membayar zakat fitrah tersebut. Adakah dia berdosa? Sedangkan dia ketika itu menghadapi kekangan kewangan dan mungkin arwah segan untuk meminta atau meminjam wang dari isterinya atau dari kami adik beradik. 

 

2. Adakah bayaran zakat fitrah yang tertangguh itu wajib dibayar? Sekiranya wajib siapakah yang sepatutnya membayarkannya adakah isteri arwah atau waris sebelah arwah (bapa/ibu/adik beradik arwah)

 

3. Sekiranya waris sebelah arwah yang perlu membayarnya.. Adakah bayaran zakat fitrah yang perlu dibayar itu merangkumi isteri dan anak2 arwah atau waris hanya perlu bayar zakat fitrah bagi arwah sahaja?


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه اجمعين أما بعد

1) Hukum membayar zakat fitrah adalah wajib ke atas setiap orang Islam yang merdeka dan mampu mengeluarkannya pada waktunya kerana antara syarat wajib zakat fitrah ialah orang itu mestilah Islam, merdeka, mempunyai harta yang lebih daripada keperluan perbelanjaannya untuk dirinya dan orang-orang di bawah tangungannya pada hari raya dan malamnya. 

Firman Allah SWT di dalam Surah al- Taubah ayat 103 :

خُذْ مِنْ اَمْوَالِهِمْ صَدَقَةً تُطَهِّرُهُمْ وَتُزَكِّيْهِمْ بِهَا وَصَلِّ عَلَيْهِمْۗ اِنَّ صَلٰوتَكَ سَكَنٌ لَّهُمْۗ وَاللّٰهُ سَمِيْعٌ عَلِيْمٌ

Maksudnya:  "Ambillah zakat dari harta mereka, guna membersihkan dan menyucikan mereka, dan berdoalah untuk mereka. Sesungguhnya doamu itu (menumbuhkan) ketenteraman jiwa bagi mereka. Allah Maha Mendengar, Maha Mengetahui".

1) Berdasarkan kepada persoalan tuan yang mana abang tuan tidak mampu untuk membayar zakat fitrah semasa bulan Ramadhan tahun 2021 yang lalu. Ianya tidaklah menjadi kesalahan kerana abang tuan tergolong dalam kategori yang tidak berkemampuan dan beliau tidak wajib membayar zakat fitrah pada waktu tersebut.

2) Berkenaan zakat fitrah yang tertangguh tersebut, mengikut hukum asalnya adalah arwah terlepas dari kewajipan membayar zakat fitrah, kerana arwah tidak berkemampuan pada waktu tersebut melainkan jika arwah masih hidup dan untuk ramadhan seterusnya arwah telah mampu bayar kerana berpendapatan lebih maka ianya perlulah menunaikan kewajipannya tetapi jika masih tidak berkemampuan juga tidak wajib ke atasnya untuk membayar pada bulan ramadhan tahun tersebut dan begitulah seterusnya.

3)  Bayaran zakat fitrah tidak perlu dibayar untuk arwah termasuk bayaran bagi ahli keluarga yang ditanggungnya ketika itu.

 

والله أعلم بالصواب


Tahun Soalan : 2022
Jumlah Pelawat : 375

message user image