BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum, saya ingin bertanya mengenai hukum air basuhan najis. Situasi saya adalah seperti berikut: sewaktu saya sedang beristinjak, saya membasuh kemaluan saya dan saya dapati terdapat sedikit  najis(tahi) yang mengalir bersama air basuhan tersebut. Ketika itu saya sedang memakai kasut di tandas. Jadi sudah tentu air basuhan itu terkena kasut saya. Dan saya telah menggunakan kasut lain Dan memijak lantai tandas yg terkena air basuhan najis itu lalu memakai kasut itu  di dalam rumah. Kerana saya tidak pasti air basuhan itu memenuhi ketiga² syarat untuk menghukum bahawa air itu suci. 

Persoalannya,

1. adakah air basuhan air kencing Dan air yang bercampur dengan tinja itu hukumnya najis?

2.Adakah lantai rumah saya telah bernajis jika saya menggunakan kasut yg memijak lantai air basuhan najis itu tadi Dan memijak lantai rumah?

Mohon pencerahan terima kasih.

 

 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada soalan yang diajukan,

1. Semasa kita beristinjak, apabila terdapat najis yang mengalir bersama air basuhan lalu ain najis itu hilang dibawa air, maka tempat laluan air tadi adalah suci. Kaki atau kasut yang terkena air basuhan najis yang mengalir tidak dianggap bernajis melainkan ain najis tersebut terkena pada kaki atau kasut lalu melekat. Seandainya najis yang mengalir bersama air basuhan itu terkena pada kaki atau kasut tanpa meninggalkan kesan ain, warna atau bau, maka kaki atau kasut tersebut adalah suci.

2. Lantai yang dipijak oleh kasut yang terkena air basuhan yang mengalir tadi adalah suci. Melainkan sekiranya terdapat ain najis pada tapak kasut, maka tempat di mana kasut itu dipijak dengan terdapat kesan ain, warna atau bau, ia menjadi bernajis.   

Walau bagaimanapun, seandainya kawasan atau tempat basuhan itu bertakung dan air tidak mengalir, seandainya air itu sedikit atau kurang dari 2 qullah, maka air takungan tersebut, kaki atau kasut yang terkena air bertakung tersebut adalah menjadi bernajis.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2022
Jumlah Pelawat : 323

message user image