BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum,

Saya ada persoalan tentang nazar.

Saya telah diberhentikan kerja dgn cara yg tidak betul oleh bekas majikan pada tahun 2019, dan perkara itu telah dibawa hingga ke peringkat mahkamah dan sehingga kini saya masih mencari kerja dan belum mendapat sebarang tawaran kerja.

Saya telah bernazar jika saya menang kes mahkamah tersebut saya akan menggunakan sebahagian wang pampasan tersrbut untuk menunaikan haji (bersama isteri) dan selainnya untuk meneruskan kehidupan seperti modal untuk perniagaan dll. Berdasarkan kekuatan kes, peguam saya percaya akan memperolehi pampasan sekitar RM200K.

Akan tetapi, tuntutan melalui mahkamah menemui jalan buntu dan pihak peguam menyarankan untuk penyelesaian luar mahkamah. Dan hasil daripada itu, saya hanya diberi pampasan sebanyak RM90K.

Kemusykilan saya kini adalah, saya amat memerlukan wang tersebut (sebanyak yg diperolehi) utk modal perniagaan dan melangsaikan hutang, akan tetapi terbelenggu dengan nazar saya untuk menunaikan haji. Adakah nazar di awal saya tadi masih sah dan perlu ditunaikan ataupun boleh ditangguhkan (kerana pampasan tidak seperti yg diharapkan).

Mohon penjelasan ustaz.
Sekian terima kasih.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته        

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وأصحابه أجمعين أما بعد

Nazar bermaksud mewajibkan ke atas diri sendiri suatu perbuatan ibadah yang mendekatkan diri dengan Allah SWT yang pada asalnya tidak diwajibkan oleh syarak ke atas dirinya, sama ada secara mutlak atau pun dengan mengaitkan dengan suatu perkara.

Merujuk kepada soalan yang diajukan, seandainya ibadah haji yang dinazarkan itu adalah haji wajib, iaitu orang yang bernazar belum pernah menunaikan haji sebelum ini, maka nazar tersebut tidak sah. Ini adalah kerana nazar berlaku pada perkara yang pada asalnya tidak diwajibkan dan bukan pada perkara yang sememangnya telah diwajibkan. Ibadah haji adalah wajib bagi mereka yang berkemampuan. Seandainya yang dimaksudkan adalah haji sunat (pernah menunaikan haji sebelum ini), maka nazar itu adalah sah.

Sebuah hadis yang diriwayatkan oleh  A’isyah RA beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda :

مَنْ نَذَرَ أَنْ يُطِيعَ اللَّهَ فَلْيُطِعْهُ، وَمَنْ نَذَرَ أَنْ يَعْصِيَهُ فَلاَ يَعْصِهِ

Maksudnya: Sesiapa yang bernazar untuk mentaati Allah maka hendaklah dia mentaati-Nya. Dan sesiapa yang bernazar untuk bermaksiat kepadanya maka janganlah dia bermaksiat kepada-Nya.

(Riwayat al-Bukhari)

Jika nazar tersebut sah, maka wajib untuk menunaikan nazar haji tersebut. Tambahan pula hasil wang pampasan yang diperolehi sebanyak RM90 ribu itu mencukupi untuk menunaikan ibadah haji. Walau bagaimanapun, tidaklah menjadi kewajipan untuk terus menunaikan haji pada tahun itu. Ini adalah kerana nazar yang dilafazkan bersifat mutlak atau umum tanpa menetapkan tempoh tertentu. Akan tetapi disunatkan untuk mempercepatkan pelaksanaan nazar sekalipun peluang melaksanakannya terbuka luas untuk bersegera melepaskan diri daripada tanggungjawab (dzimmah) nazar.

والله أعلم بالصواب

 


Tahun Soalan : 2022
Jumlah Pelawat : 115

message user image