Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum. Saya ada anak kecil yang masih memakai pampers berumur 3 tahun. 1 hari anak saya telah buang air besar. Jadi saya meletakkan anak saya didalam air sementara saya menguruskan bayi saya. Anak saya berumur 3 tahun itu telah bermain air sehingga pampersnya londeh. Apabila saya masuk ke bilik air dan buka seluar anak, saya perasan najisnya telah terkeluar dari pampers yang londeh. Setelah basuh najis anak saya, sambil saya jirus keseluruhan lantai, sehingga saya rasa bersih. Setelah itu saya dan anak keluar bilik air dengan kaki yang basah. Kemudian suami ada menggunakan bilik air bersama bayi saya. Kemudian suami ada gunakan juga bilik air bersama anak berumur 3 tahun. Pada waktu tengah malam ketika saya menggunakan bilik air untuk buang air kecil, saya yang waktu itu sedang datang haid perasan ada serpih warna coklat yang sangat halus. Saya fikir itu adalah darah saya kerana kadang2 darah berwarna coklat. Walaupun sedikit musykil kerana baru diawal haid, biasa darah merah, hujung haid baru keluar coklat. Saya bersihkan lantai sehingga tiada warna coklat & merah, baru lah saya keluar & saya tidak banyak fikir. Setelah itu suami sambung basuh baju. Air basuhan dari hos mesin basuh semi auto dibuang ke lantai bilik air. Setelah itu saya ada menggunakan semula bilik air. Ketika jirus lantai baru lah saya sedar ada najis anak saya berdekatan dengan salur getah yang disambungkan ke mesin basuh. Kemungkinan najis yang sebesar ibu jari dewasa itu telah tersorok dan tersangkut dicelah salur getah. Apabila air basuhan dibuang dan melalui salur getah itu baru la najis itu beralih.
Soalannya, ketika saya sudah selesai basuh berak anak saya pada awalnya, saya langsung tidak sedar ada najis sebesar ibu jari dewasa tertinggal disitu. Walaupun saya sudah jirus keseluruhan lantai. Langsung tidak nampak kerana mungkin najis itu tersorok dicelah salur getah. Air juga tidak berubah warna sehingga saya tidak sangka ada najis disitu. Jadi kemungkinan besar air basuh lantai terkena najis itu dan melalui kaki saya kerana saya tidak sedar. Saya dan anak telah keluar bilik air dengan kaki yang basah dan berjalan dirumah merata tempat dengan kaki yang basah. Setelah berjam-jam baru saya sedar ada najis itu di bilik air. Jadi adakah tempat2 saya dan anak pijak setelah keluar bilik air perlu dibasuh? Saya telah minta suami hidu lantai. Tiada bau dan apa2 warna dan fizikal najis luar bilik air.
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
..الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد
Merujuk kepada persoalan puan, berdasarkan kepada keterangan yang diberikan, lantai serta tempat-tempat yang dilalui oleh puan dan anak tidak perlu dibasuh. Ini disebabkan puan benar-benar yakin telah mencuci dan membersihkan keseluruhan lantai bilik air sebelum keluar dari bilik air, maka sucilah tapak kaki puan, suami dan anak. Sekiranya puan benar-benar yakin telah bersih serta cuci keseluruhan tempat tersebut, maka suci jugalah setiap tempat yang dilalui.
Justeru, lantai rumah dan tempat yang dilalui tersebut tidaklah bernajis. Jika dijumpai najis di mana-mana tempat, hanya perlu bersihkan dan cuci di kawasan yang bernajis itu sahaja. Tempat selainnya dianggap bersih dan suci.
والله أعلم بالصواب