BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Salam tuan mufti. Saya hendak bertanya tentang penggunaan mesin basuh. 
Pernah dikatakan bahawa mencuci pakaian bernajis dalam mesin basuh adalah suci kerana air sabun dibilas 2 kali selepas dicuci. Akan tetapi, saya ada kemusykilan. Beberapa hari lalu, adik saya terkencing di atas cadar katil. Lalu, emak saya memasukkan cadar tersebut di dalam mesin basuh bersama pakaian lain, tanpa mencucikan kesan kencing tersebut terlebih dahulu. Keluarga saya kesemuanya berpendapat boleh memasukkan terus pakaian bernajis dalam mesin basuh dan ianya suci. Selepas itu, saya yang menjemur pakaian dan cadar tersebut. Saya mendapati terdapat sedikit bau hancing pada cadar tersebut. Saya berasa was-was, tetapi saya terus jemur sahaja pakaian tersebut tanpa bilas untuk kemudahan saya. Kini pakaian itu sudah kering dan saya tertanya-tanya. Adakah kesemuanya sebenarnya bernajis? Atau ianya dikira suci kerana bau itu dikira sukar untuk hilang? Jika bernajis, adakah jika keluarga saya memakai pakaian tersebut dan dalam keadaan basah memindahkan najis di pakaian tersebut ke merata rumah akan menyebabkan saya berdosa? Saya seorang yang waswas berkaitan najis dan hidup saya kebelakangan ini berasa sangat serabut kerana terfikirkan akan perpindahan najis. Saya takut berdosa. Saya berasa takut jika emak saya bertanya mengapa mencuci semula pakaian tersebut. Bagaimana juga pakaian yang disidau di ampaian yang sama selepas menjemur pakaian2 dan cadar tadi? Adakah ianya dikira najis juga kerana najis mungkin dipindahkan ke ampaian dan penyangkut pakaian? Saya sangat takut sekarang. Oleh kerana saya tak basuh kembali, bolehkah saya menganggap baju-baju itu suci dan bau itu dikira sukar dihilangkan?

 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada persoalan puan, membasuh pakaian dengan menggunakan mesin basuh adalah suci kerana ia menepati hukum syarak dalam bab menyucikan pakaian. Ini bertepatan dengan apa yang disebut oleh para fuqaha di dalam kitab dan fatwa yang muktabar.

Metod basuhan yang menggunakan mesin basuh otomatik adalah menepati dua kaedah basuhan yang disarankan oleh fuqaha Shāfi‘iyyah iaitu;

a) Penggunaan air mutlak yang bersih walaupun kurang daripada dua kolah.

b) Berlakunya proses kemasukan air (murur al-mā’) ke dalam pakaian yang dimasukkan lebih awal dalam drum mesin basuh dan mesin dobi, bukan sebaliknya. 

c) Terbukti berlakunya bilangan (adad) basuhan air beberapa kali untuk menghilangkan kesan najis. Pertukaran air basuhan pertama akan dikeluarkan sebelum air baharu dimasukkan bagi putaran kali kedua.

c) Pakaian telah dikeringkan secara putaran (spinning) setelah selesai basuhan berdasarkan mod yang ditetapkan pada kedua-dua mesin. Proses putaran ini menepati kaedah perahan (i’sar) pakaian yang dihukumkan sunat oleh Shāfi‘iyyah dan wajib menurut Hanafiyyah.

d) Dari segi pengesanan zat najis dan jenis kesannya, didapati;

  • i) Kesan najis iaitu bau, warna dan rasa telah hilang sepenuhnya.
  • ii) Kewujudan kesan warna yang masih samar-samar disebabkan kesukaran menghilangkannya dimaafkan oleh syarak atas faktor mashaqqah.
  • Setiap pakaian yang telah hilang semua kesan najis khususnya kategori mutawaṣṣiṭah adalah dihukumkan bersih sekiranya semua kesan tersebut dapat dihilangkan dengan mudah.
  • Jika sukar dihilangkan selepas dibasuh dengan sabun (contoh) seperti kesan darah, pakaian tersebut dihukum bersih dengan dimaafkan (diberikan kelonggaran) pada kesan yang berbekas

Berasaskan prinsip-prinsip di atas, kenyahwujudan najis pada pakaian yang dibasuh menggunakan mesin basuh otomatik itu sewajarnya telah dianggap bersih dalam konteks ṭahārah sebagai syarat sah ibadat solat, bukan sekadar menghilangkan kotoran najis (izālah al-najāsah) semata-mata.

Namun adalah lebih baik sekiranya najis yang ada pakaian itu dibuang dan dibasuh terlebih dahulu. Manakala mesin basuh separuh automatik atau manual tidak memenuhi syarat menyucikan najis. Oleh sebab itu, najis pada pakaian perlu disucikan dahulu bagi penggunaan mesin basuh manual. Untuk maklumat lebih lanjut, pihak puan boleh merujuk  garis panduan yang diterbitkan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor di pautan berikut: 

https://www.muftiselangor.gov.my/images/pdf/Garis%20Panduan%20&%20Penerbitan/Hukum%20Cucian%20Menggunakan%20Mesin%20Basuh%20Automatik%20dan%20Separa%20Automatik.pdf

Adapun bau hancing pada cadar bukan dari kategori yang sukar dihilangkan atau dimaafkan. Oleh itu cadar masih perlu dibasuh sekali lagi sehingga hilang hancing.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2022
Jumlah Pelawat : 653

message user image