Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum.Saya mendapatkan rawatan physiotherapy di hospital.Orang yang membimbing saya ialah nurse perempuan.Jadi sewaktu ingin melekatkan sesuatau di kulit di muka saya, dia menyentuh kulit saya untuk menampal benda.Sedangkan tangan Saya boleh bergerak.Adakah haram jika nurse itu menyentuh saya dan adakah saya perlu menampal sendiri? Terima kasih.
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه اجمعين أما بعد
Hukum asal, seorang perawat tidak boleh merawat pesakit berlainan jantina. Walau bagaimanapun, hukum asal ini berubah apabila terdapat keadaan darurat atau keperluan yang mendesak. Ini berdasarkan kepada kaedah fiqah:
الضرورات تبيح المحظورات
Maksudnya: "Keadaan darurat mengharuskan perkara-perkara yang asalnya diharamkan".
Di dalam kaedah fiqah yang yang lain mengatakan:
الحاجة تنزل منزلة الضرورة عامة كانت أو خاصة
Maksudnya: “Suatu hajat (keperluan mendesak) boleh jatuh dalam kategori darurat sama ada ia berbentuk umum mahupun khusus."
Ini bermakna adalah menjadi keharusan apabila terdapat keperluan mendesak membabitkan kepentingan nyawa dan keselamatan pesakit maka perawat boleh merawat pesakit berlainan jantina. Jika tidak terdapat keperluan yang mendesak, maka perkara tersebut tidak dibenarkan.
Berbalik kepada persoalan tuan, adalah disarankan untuk mendapatkan rawatan daripada perawat lelaki jika ada. Jika tiada, maka perawat perempuan yang menjadi pembimbing untuk rawatan physiotherapy adalah diharuskan. Seandainya tuan dapat melekatkan sendiri pelekat tersebut, hendaklah tuan berbuat demikian. Namun sekiranya sukar untuk tuan melakukannya sendiri atau hasil lekatan itu tidak sempurna, maka diharuskan kepada perawat perempuan itu untuk melakukannya.
والله أعلم بالصواب