Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Saya 3 soalan berkaitan arwah
1) Bolehkah duit sumbangan orang ramai semasa ziarah arwah digunakan untuk membeli makanan untuk diberikan kepada jemaah hadir?
2) Adakah rumah yang disewa semasa arwah hidup perlu dilepaskan atas sebab bimbang menjadi hutang kepada arwah jika berlaku tunggakkan sewa rumah?
3) Semasa arwah hidup saya membekalkan keperluan arwah seperti susu, ubat dan lampin pakai buang. Sekarang ni ada banyak yang tidak digunakan lagi, adakah ianya dikira sebagai harta arwah?
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاتة
الحمدلله رب العلمين والصلاة والسلام علي أشرف الأنبياء المريلين وعلي أله وصحبه أجمعين أما بعد
Merujuk kepada persoalan saudara :
1. Duit sumbangan orang ramai semasa menziarahi kematian atau arwah pada kebiasaan ditujukan kepada keluarga si mati atau mereka yang bertanggungjawab terhadap arwah bagi membantu atau mengurangkan beban mereka di dalam kehidupan. Sebarang penggunaan wang tersebut adalah tertakluk kepada keizinan keluarga si mati, sama ada untuk digunakan membeli makanan kepada pengunjung atau sebagainya.
2. Bagi mazhab Syafi'i, kontrak sewaan rumah yang dibuat oleh si mati akan bersambung dan beralih kepada keluarga si mati jika ada. Seandainya mereka ingin meneruskannya, maka mereka bertanggungjawab untuk membayar sewaan rumah tersebut. Jika tidak, maka keluarga si mati perlu memulangkan semula rumah tersebut kepada tuan rumah apabila termpoh sewaan itu tamat.
3. Sebarang harta yang dimiliki oleh si mati semasa hidup walaupun secara pemberian hadiah atau sedekah, ia merupakan harta si mati dan ia menjadi harta pusaka.
والله أعلم بالصواب