BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Salam tuan mufti. Saya hendak bertanya isu tentang mesin basuh.

1. Memang dari dulu, keluarga saya mencuci semua pakaian menggunakan mesin basuh. Termasuk juga pakaian yang bernajis seperti pakaian yang terkena kencing adik dan kencing kucing. Keluarga saya menggunakan mesin basuh automatik dimana air mengalir masuk sehingga air bertakung, dan kemuadian air keluar. Setahu saya mesin basuh automatik tiada fungsi air masuk dan air keluar serentak. Baru-baru ini saya ada terbaca berkenaan hukum mencuci najis di dalam mesin basuh. Saya was was diantara 2 pendapat. Video-video dan website di internet terbahagi kepada 2 pendapat. Satunya adalah tidak suci mencuci pakaian bernajis didalam mesin basuh, manakala lagi satu adalah suci mencuci pakaian bernajis menggunakan mesin basuh. Pendapat pertama adalah tidak suci kerana mesin basuh adalah kurang dari 2 qullah, serta air yang mengalir masuk dan air yang keluar adalah tidak serentak, iaitu air didalam bertakung dahulu sebelum keluar. Ini menyebabkan kesemua pakaian bernajis. Manakala pendapat kedua menyatakan, pakaian menjadi suci kerana mesin basuh membilas pakaian dengan air dari atas beberapa kali selepas mencuci. Dikatakan bahawa ianya dikira suci kerana air datang dari atas dan hilang kesemua ain najis, walaupun air bertakung. Sebagai contoh, penuh video ceramah ustaz azhar idrus mengatakan tidak suci, manakala channel youtube seperti syukran.com, dan ceramah ustaz-ustaz lain mengatakan suci.
 Oleh itu saya musykil. Saya berasa was-was dan takut jika benar ianya tidak suci dan bernajis, maka mesin basuh menjadi najis dan menyebabkan kesemua baju di rumah kami bernajis dan tidak suci. Saya memberitahu keluarga saya bahawa mencuci pakaian bernajis didalam mesin basuh mungkin adalah tidak suci, akan tetapi keluarga saya lebih mempercayai pendapat kedua yang mengatakan yang ianya suci kerana pakaian dibilas menggunakan air mutlak.

2. Jika benar tidak suci, apakah yang perlu saya lakukan? Saya berasa tidak jelas kerana saya tidaklah berpengetahuan dalam bab ini. Dan jika begitu, adakah ceramah ustaz-ustaz dan channel agama yang lain adalah salah? 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada persoalan berkaitan membasuh pakaian dengan menggunakan mesin basuh automatik adalah suci kerana ia menepati hukum syarak dalam bab menyucikan pakaian. Ini bertepatan dengan apa yang disebut oleh para fuqaha di dalam kitab dan fatwa yang muktabar.

Metod basuhan yang menggunakan mesin basuh automatik adalah menepati dua kaedah basuhan yang disarankan oleh fuqaha Shāfi‘iyyah iaitu;

a) Penggunaan air mutlak yang bersih walaupun kurang daripada dua kolah.

b) Berlakunya proses kemasukan air (murur al-mā’) ke dalam pakaian yang dimasukkan lebih awal dalam drum mesin basuh dan mesin dobi, bukan sebaliknya. 

c) Terbukti berlakunya bilangan (adad) basuhan air beberapa kali untuk menghilangkan kesan najis. Pertukaran air basuhan pertama akan dikeluarkan sebelum air baharu dimasukkan bagi putaran kali kedua.

c) Pakaian telah dikeringkan secara putaran (spinning) setelah selesai basuhan berdasarkan mod yang ditetapkan pada kedua-dua mesin. Proses putaran ini menepati kaedah perahan (i’sar) pakaian yang dihukumkan sunat oleh Shāfi‘iyyah dan wajib menurut Hanafiyyah.

d) Dari segi pengesanan zat najis dan jenis kesannya, didapati;

  • i) Kesan najis iaitu bau, warna dan rasa telah hilang sepenuhnya.
  • ii) Kewujudan kesan warna yang masih samar-samar disebabkan kesukaran menghilangkannya dimaafkan oleh syarak atas faktor mashaqqah.
  • Setiap pakaian yang telah hilang semua kesan najis khususnya kategori mutawaṣṣiṭah adalah dihukumkan bersih sekiranya semua kesan tersebut dapat dihilangkan dengan mudah.
  • Jika sukar dihilangkan selepas dibasuh dengan sabun (contoh) seperti kesan darah, pakaian tersebut dihukum bersih dengan dimaafkan (diberikan kelonggaran) pada kesan yang berbekas

Berasaskan prinsip-prinsip di atas, kenyahwujudan najis pada pakaian yang dibasuh menggunakan mesin basuh itu sewajarnya telah dianggap bersih dalam konteks ṭahārah sebagai syarat sah ibadat solat, bukan sekadar menghilangkan kotoran najis (izālah al-najāsah) semata-mata.

Manakala bagi penggunaan mesin basuh separa automatik hendaklah memenuhi beberapa syarat seperti berikut:

1. Pakaian dikeluarkan daripada mesin basuh dan dibilas dengan air mutlak, atau

2. Pakaian dijirus dengan air mutlak dalam pada masa yang sama laluan air keluar di mesin basuh dibuka sehingga air melalui semua pakaian tersebut,atau

3. Pakaian yang telah dibasuh dipindahkan ke tempat pengering dan pada masa yang sama dilalukan air sehingga air mengenai semua pakaian tersebut dan laluan air keluar perlu dibuka supaya air tidak bertakung.

Adalah disarankan agar pakaian yang terkena najis dihilangkan atau dibersihkan najisnya terlebih dahulu dan dibasuh dengan dialirkan air mutlak pada tempat yang terkena najis. Seterusnya boleh dimasukkan ke dalam mesin basuh untuk dibasuh bersama-sama dengan pakaian yang lain. Untuk maklumat lebih lanjut pihak saudara boleh merujuk  garis panduan yang diterbitkan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor di pautan berikut: 

https://www.muftiselangor.gov.my/images/pdf/Garis%20Panduan%20&%20Penerbitan/Hukum%20Cucian%20Menggunakan%20Mesin%20Basuh%20Automatik%20dan%20Separa%20Automatik.pdf

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2022
Jumlah Pelawat : 828

message user image