Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum, setiap kali solat, saya perlu ada orang tengok saya solat kerana saya sentiasa was2 rakaat dah cukup 4 atau belum, dah duduk antara dua sujud atau belum, al fatihah makhraj betul atau tidak, ada tumakninah atau tidak dan banyak lagi. Perkara2 ini menjadikan saya malas nak solat. Bolehkah saya abaikan sahaja semua perkara itu? Saya sudah penat...
Terima kasih.
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
الحمد لله رب العالمين الصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وأصحابه أجمعين ، أما بعد
Merujuk kepada masaalah yang tuan hadapi, adalah dinasihatkan kepada tuan untuk memulakan proses bersuci, berwuduk dan seterusnya solat dengan penuh teliti, kusyuk dan yakin bahawa setiap syarat dan rukun dipenuhi. Tuan hendaklah mengelakkan diri dari memikirkan perkara lain ketika melakukan pekerjaan solat. Jangan difikirkan setiap syarat atau rukun yang telah dilaksanakan sebaliknya hanya fokus kepada perkara yang sedang dilakukan. Jika masih ada perasaan was-was selepas melakukan setiap rukun dan syarat dengan penuh yeliti dan khusyuk, maka sila abaikan was-was tersebut. Khusyuk akan membantu seseorang untuk mengurangkan seterusnya menghilangkan was-was dalam solat. Firman Allah SWT dalam surah al-Israa' ayat 53;
إِنَّ الشَّيْطَانَ كَانَ لِلْإِنسَانِ عَدُوًّا مُّبِينًا
Maksudnya: Sesungguhnya syaitan itu terhadap manusia adalah musuh yang nyata.
Was-was adalah bisikan dan gangguan syaitan yang bertujuan merosakkan amalan manusia dan menjadikan manusia berputus asa dalam mengabdikan diri kepada Allah SWT. Bersungguh-sungguhlah dalam melawan gangguan tersebut dengan penuh sabar dan doa.
Antara usaha yang tuan boleh lakukan adalah dengan mengamalkan solat berjamaah. Ikut imam secara tekun dan abaikan sebarang lintasan yang ada di dalam fikiran. Seandainya bacaan bacaan surah Al-Fatihah telah habis dan Imam masih belum rukuk, ulangi zikir di dalam hati dengan kalimah lafaz "الله" bagi mengelakkan sebarang lintasan atau perasaan was-was.
Adalah disarankan juga kepada tuan untuk memulakan solat dengan beristi'azah iaitu membaca (أعوذ بالله من الشيطان الرجيم), serta membaca doa:
رَّبِّ أَعُوذُ بِكَ مِنْ هَمَزَٰتِ ٱلشَّيَٰطِينِ وَأَعُوذُ بِكَ رَبِّ أَن يَحْضُرُونِ
Maksudnya: "Ya Tuhanku aku berlindung kepada Engkau dari bisikan-bisikan syaitan, dan aku berlindung kepada Engkau, ya Rabbku, dari kedatangan setan-setan itu kepadaku"
والله أعلم بالصواب