BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum, saya ada beberapa soalan bersempana Ramadhan akan datang:

1. Setahu saya, air liur yang diluar bibir, dan masuk semula ke dalam mulut dan ditelan akan membatalkan puasa, soalan saya, apabila saya bercakap, kerap air liur keluar dari kawasan bibir di bahagian tepi kanan dan kiri mulut. Dan apabila saya telan air liur, air  liur itu akan masuk ke dalam mulut semula. Perkara ini menyukarkan saya berpuasa. Adakah terdapat cara mengelakkan kesukaran ini?

2. Saya berpenyakit was-was, saya kerap sangat rasa ada sisa makanan atau bendasing dalam mulut, kadang-kadang tidak ada apa pun. Kadang-kadang ada bendasingnya. Bolehkah saya mengabaikan sahaja perkara ini?

Terima kasih.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

1. Berkata Imam al-Nawawi Rahimahullah yang bermazhab Syafi’e di dalam kitab Raudhah al-Thalibin (2/357):

لَوِ ابْتَلَعَ مِنْهُ الرِّيقَ لَا يُفْطِرُ

Maksudnya: “Sekiranya ditelan air liur maka ia tidak membatalkan puasa.”

Manakala di dalam kitab beliau yang berjudul Fatawa al-Nawawi (1/90) pula menyatakan:

إِذا ذاق الصائم طعامًا ولم يبلعْه، أو مضغ الخبز، أو نحوَه ولم يبلعه، أَو جمع الريق في فيه ثم ابتلعه، أو دخلت ذبابة في جوفه بغير اختياره، أو كان يغربل حِنطة، أو دقيقًا، أو غيرَهما وفتح فمه فدخله شيء من الغبار، أو سبقه ماء المضمضمة، أو الاستنشاق من غير مبالغة هل يُفطر؟ الجواب: لا يفطر في جميع ذلك، والله أعلم.

Maksudnya: Apabila seseorang yang berpuasa itu merasa makanan dan tidak menelannya, atau dia mengunyah roti dan selainnya namun tidak menelannya, atau seseorang itu mengumpulkan air liur di dalam mulutnya, atau seekor lalat masuk ke dalam rongganya tanpa sebarang kehendak darinya, atau dia sedang mengadun gandum atau tepung dan selainnya lalu dia membuka mulutnya dan masuk sedikit daripada debu-debu, atau tertelan air berkumur atau istinsyak tanpa dia berlebihan (dalam perbuatan tersebut), adakah ini membatalkan puasa ? Jawapan: Kesemuanya ini tidak membatalkan puasa.

Seterusnya di dalam kitab al-Majmu’ beliau berkata: ‘’Menelan air liur tidak membatalkan puasa berdasarkan ijma’ sekiranya ia dilakukan secara adat. Ini kerana kesukaran untuk mengelakkan dari melakukannya’’.

Yakni jika menelan air liur sudah menjadi adat kebiasaan seseorang itu, maka ia tidak membatalkan puasa. Bahkan jika dia dengan sengaja menghimpunkan air liur di dalam mulutnya, kemudian dia menelannya, maka ia juga tidak membatalkan puasa mengikut pendapat sahih dalam mazhab al-Syafi’e.

Walau bagaimanapun, sekiranya air liur seseorang itu telah keluar dari mulutnya, kemudian dimasukkan semula melalui lidahnya atau selain lidahnya, maka ia membatalkan puasa.

Merujuk kepada persoalan yang diutarakan oleh saudara/i, perkara seperti ini tidak dapat dielakkan dan terdapat masyaqqah yakni kesusahan jika menjaganya. Tambahan pula, perkara ini berlaku secara semula jadi dan bukan disengajakan. Maka ianya dimaafkan dan tidak membatalkan puasa.

Akan tetapi, saudara/i dinasihatkan supaya mengelap air liur yang terkeluar itu dengan tisu atau apa-apa peralatan yang bersih supaya air liur tersebut tidak masuk semula ke dalam mulut. Selain itu, saudara/i boleh kurangkan bercakap jika mampu berbuat demikian.

2. Was-was adalah suatu penyakit yang datang daripada syaitan. Syaitan akan menggunakan pelbagai cara untuk menyesatkan manusia. Antara cara yang digunakan adalah dengan menimbulkan perasaan was-was di dalam diri manusia. Firman Allah S.W.T di dalam surah al-Naas ayat 5:

ٱلَّذِي يُوَسۡوِسُ فِي صُدُورِ ٱلنَّاسِ

Maksudnya: yang membisikkan (kejahatan) ke dalam dada manusia

Perasaan was-was yang mengganggu ibadah adalah gangguan fikiran dan syaitan. Hindarkan jiwa dari melayannya. Ini kerana melayannya bererti mengikut kehendak syaitan yang cuba menghilang fokus seseorang kepada ibadah dan cuba menjadikan seseorang itu akhirnya bosan, bimbang dan jemu dengan ibadah.

Menjawab persoalan saudara/i berkaitan isu was-was ini, jika timbul perasaan was-was terhadap sesuatu perkara, sama ada sisa makanan atau bendasing dalam mulut kita,  kita perlu mengabaikan sahaja perkara itu kecuali memang saudara/i amat yakin memang ada sisa makanan atau bendasing tersebut. Sekiranya ia hanya perasaan yang tak pasti samada ada atau tidak maka abaikan sahaja perasaan itu. 

Walapun begitu, adalah lebih baik sekiranya saudara/i berusaha menghilangkan perasaan was-was itu dengan berkumur setiap kali sebelum menunaikan solat atau ketika ada rasa bendasing dalam mulut, dengan syarat tidak berlebihan kerana dikhuatiri boleh membatalkan puasa.

Kesimpulannya dalam perkara was-was ini, sebagai contoh, Nabi SAW mengajar agar seseorang yang merasa terbatal wuduknya secara was-was atau tidak pasti, maka dia tidak perlu berhenti dari solat sehingga beliau benar-benar yakin terbatal. Solatnya tetap sah, mainan perasaan tidak diambil kira. Termasuklah dalam hal ini mereka yang terasa macam terkeluar air kencing, tetapi tidak pasti samada hanya perasaan atau benar-benar berlaku, maka solat masih dianggap sah. Melainkan dia yakin tanpa ragu bahawa angin atau air kecil benar-benar telah terkeluar.

Adalah disarankan agar pihak sudara/i sentiasa berdoa kepada Allah SWT agar dihilangkan dari masalah was-was yang dialami. 

والله أعلم بالصواب


Tahun Soalan : 2022
Jumlah Pelawat : 638

message user image