Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum ustaz,
Pengeluaran Wang simpanan KWSP umur 55 tahun
1. Pendapat ustaz 1 menyatakan zakat wang simpanan wajib dikeluarkan apabila dapat terus duit dan dimasukkan dalam akaun bank..tak perlu tunggu setahun. Pendapat ustaz 2 pula menyatakan kena tunggu setahun dulu dari tarikh wang masuk..cukup haul dalam akaun bank barulah wajib keluarkan zakat. Mana satu yang betul dari pendapat ustaz tersebut.
2. Wajibkah ahli tersebut keluarkan zakat kerana beliau dah dikira bersara(swasta) dan tiada lagi pendapatan tetap..hanya bergantung pada wang KWSP tersebut untuk menyara diri dan keluarga.
Sebab duit tersebut akan berkurangan setiap bulan untuk kegunaan harian ahli...sebab syarat wajib zakat simpanan mesti duit tersebut berkembang atau bertambah...ini sebaliknya..
Sekian semoga mendapat penjelasan akan kekeliruan ini dari pihak tuan.
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد
Pengertian zakat menurut istilah syara’ ialah kadar tertentu yang diambil daripada sebahagian harta tertentu, yang wajib diberikan kepada golongan tertentu apabila cukup syarat-syarat yang ditentukan.Harta yang diberikan kepada golongan tertentu itu dinamakan zakat. Ini adalah kerana pengagihan tersebut dan dengan doa penerimanya akan menyebabkan baki hartanya menjadi subur dan bertambah berkat. Mengeluarkan zakat juga bererti membersihkan harta daripada sebarang perkara syubhah. Dengan kata lain, ia akan mengeluarkan hak orang lain yang ada dalam harta berkenaan, terutamanya hak orang yang benar-benar berhajat dan memerlukannya.
1. Zakat simpanan dikira sebanyak 2.5% seperti mana zakat emas dan perak dan diambil kira baki terendah dalam simpanan seseorang yang telah cukup syarat-syaratnya. Manakala untuk pembayaran zakat wang simpanan KWSP, dalam keputusan mesyuarakat Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia kali ke-5 dan kali ke-74 yang menyatakan pandangan hukum seperti berikut:
Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor (MJKFNS) yang bersidang pada 7 Jun 2007 memutuskan bahawa: Pencarum KWSP digalakkan mengeluarkan zakat sejurus menerima atau mengeluarkan wang KWSP tersebut jika cukup nisabnya tanpa menunggu haul setahun. Berdasarkan keterangan fatwa Selangor adalah sangat digalakkan mengeluarkan zakat sejurus menerima atau mengeluarkan wang KWSP tersebut jika cukup nisabnya tanpa menunggu haul setahun kerana dikhuatiri wang tersebut akan berkurangan dari segi nisabnya yang tidak wajib dikenakan zakat lagi.
2. Seorang pesara wajib membayar zakat jika wang simpanannya mencukupi nisab. Adalah dicadangkan untuk menyimpan wang di dalam institusi kewangan yang mengeluarkan zakat terhadap wang simpanan bagi pihak pelanggan seperti Tabung Haji. Pelanggan biasanya akan mendapat keuntungan bersih setiap tahun tanpa perlu mengeluarkan zakat kerana telah diuruskan oleh pihak institusi.
Dimohon juga agar saudara merujuk kepada pusat zakat yang berdekatan iaitu badan yang berautoriti dalam perkara ini. Semoga kita menjadi golongan yang membayar zakat.
والله أعلم بالصواب
Sekian, terima kasih.