BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Salam tuan mufti. Saya hendak bertanya berkaitan isu najis. Saya dan keluarga sudah bertahun- tahun membela banyak kucing. Dan kucing kami banyak kali sudah membuang air di merata-rata tempat. Kebanyakkannya di atas lantai dan diatas barangan. Akan tetapi, kerana kurang pengetahuan isu najis ini, kami terus mengelap menggunakan mop dan sabun, yang bermakna cara kami menyucikan najis-najis tersebut adalah salah. Sudah bertahun-tahun kami buat begitu. Hanya baru-baru ini sahaja saya mempelajari bahawa tindakan tersebut salah kerana ia masih najis dan menyebabkannya tersebar keseluruh rumah. Terdapat sekali najis kucing itu terletak dihadapan pintu bilik air. Oleh itu, bukankan apabila orang keluar daripada bilik air itu akan memindahkan najis tersebut kerana sudah pasti kaki dalam keadaan basah? Sudah ramai orang lalu dan berjalan disekitar rumah dan ini menyebabkan saya berasa serabut kerana adalah sukar untuk membersihkan keseluruhan rumah memandangkan rumah saya yang agak besar. Bagaimana juga dengan barangan-barangan yang was was dan tidak pasti jika terkena/terpindah najis atau tidak kerana sifat najis yang hukmi. Saya berasa runsing dan gusar kerana cuma saya seorang yang baru mempelajari tentang najis ini. Keluarga saya masih tidak faham dan saya merasakan jika diberitahu, mereka akan mengatakan bahawa ianya adalah dimaafkan kerana berlaku semasa kita tidak tahu. Apa yang perlu saya lakukan?


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada persoalan dari pihak puan najis hukmiyyah ialah yang tidak kelihatan najisnya secara jelas kerana tiada tanda-tanda seperti bau,rasa dan juga warna. Cara membersihkannya adalah cukup sekadar mengalirkan air pada tempat yang terkena najis tersebut. Sebagai contoh najis hukmiyyah adalah seperti air kencing yang telah kering serta tidak dilihat padanya kesan atau sifat-sifatnya. Maka, cara membersihkannya, cukup dengan hanya mengalirkan air padanya sekali. 

Manakala ‘ainiyyah pula ialah najis yang kelihatan dan ada sifat-sifatnya sama ada bau atau warna atau rasa. Cara mensucikan najis ‘ainiyyah adalah dengan membuang atau menghilangkan ain najis tersebut. Kemudian hendaklah melalukan ke tempat bekas terkena ain najis tadi dengan air mutlak sehingga hilang sisa ain (jika ada) serta sifatnya, iaitu bau, warna dan rasa dengan cara menggosok dan sebagainya. Sekiranya najis tersebut dapat dihilangkan bersama sifat-sifatnya dengan sekali basuhan sahaja, ia sudah mencukupi. Akan tetapi sunat untuk dia membasuhnya pada kali kedua dan ketiga.

Oleh itu, tempat, anggota badan atau barang-barang yang diyakini terkena najis hendaklah disuci dengan cara yang ditetapkan oleh syarak. Ini dapat diperhatikan melalui ainnya, bau, warna dan rasanya. Jika tidak pasti atau tidak yakin atau agak-agak sahaja terkena najis maka tidak disyariatkan mencucinya tetapi ia satu perbuatan yang baik. Bagi mereka yang membela haiwan peliharaan maka hendaklah lebih berhati-hati menjaga kebersihan serta kesucian persekitarannya daripada najis haiwan tersebut. Jika tidak mampu adalah lebih baik mengambil jalan berhati-hati dengan tidak memelihara binatang peliharaan di dalam rumah. Teruskan belajar dengan guru-guru yang diyakini keilmuannya dalam bab fardhu ain khususnya.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2022
Jumlah Pelawat : 224

message user image