BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : UMUM

message user image

  Soalan

Assalamualaikum

1)Saya ingin bertanya hukum jika bapa mertua sering bermalam di rumah  menantu perempuan yang kehilangan suami sedangkan mempunyai anak-anak perempuan kandung  di taman yang sama?

2) bagaimana cara yang sesuai untuk saya nak nasihatkan beliau.Supaya tidak menjadi fitnah dan tomahan orang keliling.

 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين الصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وأصحابه أجمعين ، أما بعد

Menantu perempuan adalah golongan yang haram muabbad iaitu haram bagi bapa mertua mengahwini menantu perempuan selama-lamanya walaupun setelah berpisah dengan suami sama ada berpisah hidup atau mati. Walau dari segi aurat dan tidak membatalkan wuduk apabila bersentuhan tanpa lapik, menantu perempuan adalah seperti anak perempuan kandung sendiri, namun batas pergaulan masih perlu dijaga bagi mengelakkan sebarang fitnah mahupun kejadian yang tidak diingini serti sumbang mahram dan sebagainya. Bukan bersangka buruk, akan tetapi dalam keadaan zaman yang penuh pancaroba ini, pelbagai kemungkinan boleh berlaku. Maka, berjaga-jaga dan mencegah itu adalah lebih baik.

Berdasarkan soalan yang diajukan, adalah tidak menjadi kesalahan bagi seorang bapa mertua untuk menziarahi anak menantu perempuan. Namun sekiranya perbuatannya seperti kerap menginap di rumah anak menantu perempuan yang telah kematian suami, tanpa ada ditemani oleh isteri ayah mertua atau ahli keluarga yang lain, serta tidak ada keperluan yang mendesak, maka ia berkemungkinan boleh menimbulkan fitnah dalam kalangan keluarga mahupun masyarakat.

Sekiranya bapa mertua ingin menjenguk atau bertanya khabar kepada menantu atau cucunya, tuan disyorkan untuk menasihati bapa mertua dengan cara penuh hikmah supaya dilibatkan bersama dengan ibu mertua (isteri bapa mertua) atau ahli keluarga yang yang lain bagi mengelak sebarang fitnah. Tuan juga boleh melibatkan pihak komuniti setempat seperti pihak masjid atau surau untuk memberi nasihat sekiranya ia lebih memberi kesan yang baik.

والله أعلم بالصواب

 


Tahun Soalan : 2022
Jumlah Pelawat : 302

message user image