Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Salam, saya sudah mendirikan rumah tangga selama 5 tahun tetapi belum dikurniakan cahaya mata. Saya juga tidak berasa ingin bersama suami kecuali jika dipaksa. Ini sering menyebabkan suami saya marah dah tidak bertegur sapa sehingga 2 minggu atau lebih. Saya telah cuba untuk merapatkan hubungan tetapi masih tidak berhasil. bolehkah saya meminta cerai untuk mengelakkan dari menjadi isteri yang dibenci suami?
Jawapan
Merujuk kepada persoalan puan, isteri yang memohon cerai daripada suaminya tanpa alasan yang dibenarkan oleh syarak adalah berdosa, sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Sauban, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya : Mana-mana wanita yang menuntut cerai kepada suaminya tanpa alasan yang dibenarkan, maka diharamkan ke atasnya bau syurga (Riwayat Tirmizi)
Namun, jika seorang isteri sudah tidak boleh bersama, boleh memohon khulu’. Ini berdasarkan kisah isteri Thabit bin Qais, dalil yang diriwayatkan daripada Ibnu Abbas r.a bahawa Rasulullah bersabda:
Maksudnya : “Isteri Thabit bin Qais menemui Rasulullah SAW dan berkata: “Wahai Rasulullah! Aku tidak pernah mencela Thabit bin Qais dari segi akhlak dan agamanya, tetapi sebagai seorang Islam, aku tidak suka mengingkari hak-hak suami”. Nabi SAW pun bersabda: “Bolehkah engkau memulangkan kebunnya?”. Dia menjawab: “Ya”. Maka Rasulullah SAW bersabda kepada Thabit bin Qais: “Engkau terimalah kebun ini dan ceraikanlah dia talaq satu”. (Riwayat al-Bukhari)
Sekian, terima kasih.