Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
SALAM
SAYA ADA PERTANYAAN
SAYA MENJALANKAN PERNIAGAAN KERETA SEWA TIDAK BERLESEN
YANG MENJADI PERSOALAN/MASALAH SAYA ADALAH APABILA KERETA SEWA SAYA EXCIDENT SAYA CLAIM INSURAN SEBAGAI KERETA PERIBADI
PIHAK INSURAN TIDAK MEMBENARKAN CLAIM JIKA KERETA TERSEBUT DIBUAT SEBAGAI KERETA SEWA TAPI SAYA MEMBAYAR INSURAN KERETA TERSEBUT TIAP2 TAHUN SEBAGAI INSURAN PERIBADI
JADI JIKA BERLAKU KEMALANGAN SAYA TELAH NYATAKAN PADA PIHAK INSURAN KERETA TERSEBUT SEBAGAI KERETA PERIBADI ATAU DIPINJAM ORANG SUPAYA DAPAT CALAIM INSURAN TERSEBUT
JADI APA HUKUM SAYA MENIPU PIHAK INSURAN DAN ADAKAH DUIT CLAIM MAMBAIKI KERETA TERSEBUT MENJADI HARAM SEDANGKAN SAYA MEMBAYAR DUIT INSURAN TERSEBUT TIAP2 TAHUM.TERIMA KASIH
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد
Merujuk kepada soalan yang diajukan,
Sekiranya kereta tersebut digunakan sebagai kereta sewa maka perbuatan membuat tuntutan atas penggunaan peribadi adalah perbuatan menyalahi kontrak perjanjian antara pemilik kereta dan pihak insurans. Melanggar perjanjian merupakan perbuatan yang berdosa berdasarkan dalil Al-Quran serta hadis berikut:
Di dalam surah Al-Maidah ayat 1, Allah SWT berfirman:
يَاأَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَوْفُوا بِالْعُقُودِ
Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman, penuhi serta sempurnakanlah akad-akad (perjanjian-perjanjian).
Di dalam surah Al-Isra' ayat 34 pula Allah SWT berfirman:
وَأَوْفُوا بِالْعَهْدِ إِنَّ الْعَهْدَ كَانَ مَسْئُولًا
Maksudnya: Dan sempurnakanlah perjanjian (dengan Allah dan dengan manusia), sesungguhnya perjanjian itu akan ditanya.
Begitu juga, sepotong hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:
المسلمونَ على شروطِهم
Maksudnya: Orang muslim dipegang atas syarat-syarat mereka (perjanjian yang dipersetujui). (Riwayat Abu Daud)
Berdasarkan ayat-ayat Al-Quran serta hadis di atas, orang Islam dibenarkan membuat perjanjian antara pihak-pihak sekalipun dengan orang bukan Islam, namun perjanjian tersebut mestilah sesuatu yang tidak bertentangan dengan hukum syarak. Sekalipun pemilik kenderaan membayar insurans tersebut secara tahunan, namun perbuatan melanggar perjanjian adalah sesuatu yang berdosa serta ia perlu dielak.
والله أعلم بالصواب
Sekian, terima kasih.