BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUAMALAT

message user image

  Soalan

Assalamualaikum JMNS.

Saya ingin bertanya soalan:

Adakah halal barang/hadiah/pendapatan yang dimain secara cabutan bertuah dengan MENGGUNAKAN POINTS/MATA yang telah dikumpul sekian lama atau hukumnya sama dengan judi? Contoh (Ali telah lama menjadi "member" untuk sebuah pasaraya dan telah kumpul banyak mata. Kemudian dia menebus mata untuk masuk cabutan bertuah, malangnya dia tidak menang apa-apa)

Sekian, Terima Kasih


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Semua jenis cabutan bertuah yang tidak memerlukan sebarang bayaran untuk menyertainya adalah halal dan harus. Ia adalah disepakati oleh ulama kerana melihatnya sebagai pemberian hadiah biasa dari satu pihak (yang memberi dan menawarkan). Tiada sebarang pihak akan menanggung kerugian walaupun tidak terpilih. Ketika itu tidak timbul isu memakan harta orang lain secara salah yang diharamkan dalam syariat Islam.

Sebagai panduan, beberapa kriteria asas boleh dijadikan panduan untuk kita mengetahui sesuatu cabutan  bertuah yang dijalankan oleh pelbagai pihak itu haram atau  sebaliknya adalah seperti berikut:

  1. Tidak mengandungi unsur judi.
  2. Hadiah yang diberi atas dasar rela hati dan redha penganjur itu sendiri.
  3. Tiada sebarang unsur yang boleh membawa mudarat dan penganiayaan kepada pelanggan disebabkan hadiah tersebut.
  4. Tiada unsur penipuan dan agenda-agenda tersembunyi.

Manakala, mata ganjaran (point) dianggap sebagai hadiah yang diberikan oleh syarikat kepada pelanggan dan ia dibenarkan oleh Syarak selama mana mematuhi garis panduan berikut :-

  1. Transaksi atau perbelanjaan itu adalah sah dan patuh Syariah;
  2. Hadiah atau barangan yang ditebus adalah perkara yang harus dan bukan haram;
  3. Mata ganjaran itu diberikan secara percuma dan tiada bayaran yang dikenakan kepada pelanggan;
  4. Tiada penipuan yang dilakukan oleh syarikat dalam proses pemberian mata ganjaran seperti menaikkan harga barangan

Jika diteliti, secara adatnya mata ganjaran (point) sepatutnya digunakan untuk menebus barang jualan yang berkemungkinan akan mendapat harga lebih murah tanpa ada bayaran tambahan. Namun situasi tuan menampakkan mata ganjaran digunakan untuk menebus hadiah bertuah dan sekiranya tidak berjaya ia akan dianggap hangus. Maka kelihatannya jelas telah berlaku perjudian.

Allah SWT telah melarang umat Islam dari melibatkan diri dalam sebarang unsur atau aktiviti perjudian di dalam al-Quran. Firman Allah SWT dalam Surah al-Maidah ayat 90:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنَّمَا الْخَمْرُ وَالْمَيْسِرُ وَالْأَنصَابُ وَالْأَزْلَامُ رِجْسٌ مِّنْ عَمَلِ الشَّيْطَانِ فَاجْتَنِبُوهُ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Sesungguhnya minuman keras, berjudi, (berkorban untuk) berhala, dan mengundi nasib dengan anak panah, adalah perbuatan keji dan termasuk perbuatan setan. Maka jauhilah (perbuatan-perbuatan) itu agar kamu beruntung.

 

والله أعلم بالصواب


Tahun Soalan : 2022
Jumlah Pelawat : 221

message user image