Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum, saya berasal daripada Melaka, menetapkan di WP Kuala Lumpur (setiap hujung minggu saya akan pulang ke Melaka) dan bekerja di PJ, Selangor (hari minggu). Saya perlu membayar fidyah mengikut jumlah dan/atau pengiraan fidyah negeri Melaka, WP Kuala Lumpur atau pun Selangor? Terima kasih.
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
الحمد لله رب العالمين الصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وأصحابه أجمعين ، أما بعد
Fidyah merupakan bayaran denda yang dikenakan kepada seseorang yang tidak dapat mengganti puasanya di bulan Ramadhan pada sesuatu tahun sehinggalah tibanya bulan Ramadhan tahun berikutnya. Hukum membayar fidyah adalah wajib. Dengan membayar fidyah tidak bermaksud mereka tidak perlu lagi menggantikan puasanya kerana puasa tersebut tetap wajib digantikan mengikut bilangan hari yang telah ditinggalkannya kecuali bagi mereka yang meninggalkan puasa kerana sakit yang tidak mungkin akan sembuh.
Daripada Ibn Abbas RA, bahawa Rasulullah SAW mengutuskan Muaz bin Jabal RA ke Yaman, baginda SAW berpesan, antara lainnya:
فَأَعْلِمْهُمْ أَنَّ اللَّهَ افْتَرَضَ عَلَيْهِمْ صَدَقَةً فِي أَمْوَالِهِمْ تُؤْخَذُ مِنْ أَغْنِيَائِهِمْ وَتُرَدُّ عَلَى فُقَرَائِهِمْ
Maksudnya: Maka beritahulah mereka bahawa Allah telah menfardukan ke atas mereka sedekah (zakat wajib) terhadap harta mereka, diambil daripada orang kaya dalam kalangan mereka dan dikembalikan kepada orang fakir dalam kalangan mereka.
(Riwayat al-Bukhari)
Para ulama' memahami nas di atas bahawa keutamaan membayar zakat di negeri iaitu tempat harta-harta zakat itu diperolehi (tempat kerja) dan seperti itu juga halnya dengan fidyah. Merujuk kepada keterangan yang diberikan, tempat kerja tuan adalah di Petaling Jaya, Selangor, maka keutamaan membayar fidyah adalah di Selangor.
والله أعلم بالصواب