BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : AKIDAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum, saya keliru tentang salah satu sebab murtad iaitu, bergurau berkaitan agama. 1) Sesetengah ustaz memasukkan unsur jenaka dalam kuliyyah, adakah ini juga dikira bergurau berkaitan agama? Contohnya dengan berkata, " imam membaca alfatihah slow, alhamdulillahirabbil alamin...(ustaz tersebut baca dengan perlahan)", kemudian pendengar gelak.

2) Apakah batas gurauan berkaitan agama? Adakah apabila ada niat mempersenda agama baru dikira murtad? Ataupun dengan hanya niat bergurau tanpa niat mempersenda agama turut menajdi murtad?

Terima kasih.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

1. Hakikatnya, Islam sebagai panduan hidup manusia tidak pernah melarang manusia untuk berhibur dan berjenaka. Hiburan dan jenaka itu adalah fitrah tabiat manusia dan tanpanya kehidupan akan menjadi hambar, sedih dan kurang bermotivasi untuk hidup menjalankan tanggungjawab masing-masing. Merujuk kepada persoalan tuan, gurauan atau jenaka tersebut tidaklah menyebabkan terbatalnya aqidah atau murtad kerana ia bukan mempermainkan syiar agama. Ia merupakan gurauan atau jenaka dari penceramah bagi memastikan pendengar tidak berasa bosan atau mengantuk semasa ceramah disampaikan. Walaubagaimana pun, terdapat beberapa etika apabila hendak bergurau atau berjenaka, antaranya adalah:

  1. Tidak melampau batas sehingga meninggalkan tanggungjawab dan kewajipan
  2. Tidak menjadikan maruah seseorang itu sebagai gurau senda.
  3. Tidak menipu dalam lawak
  4. Tidak mempermainkan syiar agama

Firman Allah SWT dalam surah Al-An’am ayat 70: 

وَذَرِ الَّذِينَ اتَّخَذُوا دِينَهُمْ لَعِبًا وَلَهْوًا وَغَرَّتْهُمُ الْحَيَاةُ الدُّنْيَا

Maksudnya: Dan jauhkanlah diri dari orang-orang yang menjadikan agama mereka sebagai permainan dan hiburan, dan mereka pula telah diperdayakan oleh kehidupan dunia.

Tafsiran ayat di atas jelas menunjukkan kepada larangan untuk mempermainkan agama dan membuat sesuatu lawak yang mempunyai kaitan dengan ajaran Islam. Hal ini bertujuan untuk menjaga kehormatan agama Islam itu sendiri seperti mana yang telah digariskan dalam maqasid syari'ah, yang merupakan salah satu aspek dharuriyyat al-khamsah iaitu hifz al-din atau menjaga agama. 

2. Pada dasarnya adalah tidak wajar menjadikan perkara berkaitan agama menjadi bahan gurauan. Begitu juga halnya, adalah tidak wajar untuk mempersendakan perkara berkaitan dengan agama. Namun tidaklah mudah untuk menghukum seseorang itu murtad, bahkan ia perlu dibawa ke Mahkamah untuk memutuskannya. Adapun di antara perkara yang boleh menyebabkan seseorang itu menjadi murtad atau terkeluar dari agama Islam adalah dengan jelas mempercayai terdapat tuhan selain Allah, menyembah berhala, menafikan sesuatu hukum yang sabit secara qat'i seperti menafikan kewajipan solat 5 waktu, puasa pada bulan Ramadan, menafikan pengharaman arak, zina dan sebagainya.

الله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2022
Jumlah Pelawat : 234

message user image