وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد
Memakai perhiasan berbentuk haiwan untuk tujuan hiasan semata-mata adalah haram dipakai ini kerana segala jenis perhiasan yang terdapat padanya gambar atau ukiran sesuatu yang bernyawa seperti binatang adalah haram dipakai kerana ia diletakkan pada tempat yang dimuliakan iaitu di tubuh badan kita. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Abi Talhah RA, Rasulullah SAW bersabda:
لَا تَدْخُلُ الْمَلَائِكَةُ بَيْتًا فِيهِ كَلْبٌ وَلَا صُورَةُ تَمَاثِيلَ
Maksudnya: "Sesungguhnya Malaikat tidak akan masuk suatu rumah yang di dalamnya mempunyai anjing dan gambar patung."
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Begitu juga hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan daripada Aisyah RA katanya; Maksudnya: “Dia membeli bantal-bantal kecil yang bergambar. Maka tatkala Rasulullah SAW melihat bantal-bantal tersebut baginda berhenti di muka pintu dan tidak terus masuk. Aku tahu dari wajah baginda bahawa baginda tidak senang. Berkata Aisyah: ”Ya Rasulullah! Aku bertaubat kepada Allah dan Rasul-Nya. Apakah kesalahanku?" Rasulullah SAW kembali bertanya: “Bantal-bantal apakah itu?" Jawab Aisyah: “Aku membelinya untuk kamu sebagai tempat duduk atau tempat bersandar.” Sabda Rasulullah SAW: “Pelukis gambar-gambar ini akan diseksa di hari kiamat seraya dikatakan kepada mereka, "Hidupkanlah gambar-gambar yang kamu lukis itu!”. Kemudian baginda bersabda: “Sebuah rumah yang terdapat di dalamnya gambar-gambar (haiwan), malaikat tidak mahu masuk ke dalam rumah itu.” (Riwayat Muslim)
Oleh itu, merujuk kepada persoalan puan dapat dinyatakan bahawa memakai perhiasan berbentuk haiwan atau benda hidup untuk tujuan hiasan semata-mata adalah diharamkan. Islam sejak dulu menggalakkan konsep alam, seperti bunga dan tumbuhan dan bukannya haiwan. Dikhuatiri boleh menjadi salah satu objek pemujaan tanpa disedari serta bangga diri.
والله أعلم بالصواب
Sekian, terima kasih.
|