BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : UMUM

message user image

  Soalan

Assalamualaikum,

 

Pengenalan:

Ibu saya sekarang berumur 72 tahun dan ayah saya sudah meninggal pada November 2020 (berumur 74 tahun).  

Emak sedara tiri (arwah Puan S) kepada ibu saya pernah tinggal bersama keluarga saya di Kuala Lumpur (lebih 30 tahun dulu dalam tahun 1980an dan 1990an semasa dia bujang lagi) dan menjaga kami 5 adik beradik semasa kami kecil-kecil lagi. Dia telah berkhidmat dengan keluarga saya lebih kurang 10 tahun sebelum pulang kembali ke Terengganu dan kahwin.

Sekarang saya dan 3 adik saya sudah berkeluarga dan mempunyai kediaman sendiri dan seorang lagi adik saya yang bongsu berumur 37 masih belum kahwin dan bekerja di luar negara.

 

SOALAN:

Arwah Puan S mempunyai seorang anak lelaki (En. AR) berumur 25 tahun dari Terengganu. Dia sudah dapat pekerjaan di Kuala Lumpur. Suami arwah Puan S pun sudah meninggal. Hubungan En. AR dan ibu saya adalah bukan mahram dan jarak umur antara mereka adalah besar. 

Boleh tak En. AR tinggal bersama ibu saya di rumah sebagai tempat penginapan di Kuala Lumpur, makan di rumah dan akan menolong menjaga keadaan rumah (bersih halaman rumah, jaga tanaman, memasak dan teman ibu ke kedai) tanpa bayaran ... memandangkan ibu saya sudah tua? 

Ibu saya ingin memudahkan urusan dan juga boleh mengurangkan perbelanjaan En. AR sebagai balasan terima kasih ibu saya kepada arwah Puan S yang pernah menjaga kami 5 adik beradik semasa kami kecil2 dulu.

 

Kami meminta maklumbalas pengetahuan dan pendapat pihak tuan supaya kami tidak keliru atau was2 lagi. 

 

Rujukan:

1. Saya pernah tengok tazkirah online daripada ustaz-ustaz yang ada juga keringanan diberikan kepada anak2 angkat, orang gaji dan antara orang2 tua dan muda dari segi bukan mahram dan tinggal bersama;

2. Saya pun telah jumpa rujukan dari mufti Singapura (https://www.muis.gov.sg/officeofthemufti/Fatwa/Malay-Batasan-Aurat-Keluarga-Angkat) yang beri keringanan untuk bukan mahram.

Rujukan dari mereka seperti berikut:

"19. Syariah menetapkan bahawa tidak semua yang bukan mahram itu memiliki hukum yang sama. Ada keringanan (rukhsah) yang diberikan bagi sebahagian situasi unutk menjaga kemaslahatan dan keperluan....."

 

 

 

 

 

 

 

 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين الصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وأصحابه أجمعين ، أما بعد

Menurut maklumat yang diberikan, En. AR (25 tahun) adalah anak lelaki kepada emak saudara tiri kepada ibu tuan dan hubungan mereka adalah bukan mahram. Ini bermaksud mereka boleh berkahwin dan batasan aurat juga sama seperti bukan mahram yang lain. Di samping itu juga, hukum berkhalwat terpakai ke atas mereka, iaitu mereka diharamkan untuk berdua-duaan dalam satu rumah.

Ketentuan Hukum Syarak menyatakan bahawa seorang lelaki dan wanita yang bukan mahram adalah diharamkan untuk bersekedudukan dalam sebuah rumah. Larangan ini bertepatan dengan larangan Allah SWT menerusi surah al-Isra' ayat ke 32, iaitu supaya umat manusia tidak mendekati zina. Harus diingat bahawa perzinaan bukan sahaja boleh berlaku dalam kalangan pasangan muda belia sahaja, bahkan nafsu dan godaan syaitan akan sentiasa meruntun jiwa sesiapa sahaja. Hadis yang diriwayatkan oleh Umar al-Khattab RA bahawa Rasulullah SAW bersabda;

لا يخلونَّ رجلٌ بامرأةٍ إلَّا كانَ ثالثَهُما الشَّيطانُ

Maksudnya: Tidak berdua - duaan antara lelaki dan wanita kecuali yang ketiganya adalah syaitan.

(Riwayat Ahmad)

Sekiranya dalam situasi terdesak (darurat), seperti ibu tuan sudah terlalu uzur dan tidak boleh mengurus diri sendiri, dalam masa yang sama tiada pilihan lain selain hanya En. AR sahaja yang dapat membantu, maka di sini Syariat memberi kelonggaran sekadar menjaga keperluan ibu tersebut selagi aman daripada fitnah.

والله أعلم بالصواب


Tahun Soalan : 2022
Jumlah Pelawat : 251

message user image