Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Salam sy nak tanya, jika anak berak dalam pampers dan duduk di sofa atau tilam dan meninggalkan bau tapi tiada warna dan kering sahaja.( pampers tak bocor) Adakah tilam atau sofa tu dikira najis. Dan juga kalau anak kencing dalam pampers, tetapi sofa dan tilam ade bau hancing tetapi kering sebab pampers x bocor. Adakah tilam bernajis. Terima kasih.
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
...الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد
Najis ‘ainiyyah ialah najis yang kelihatan dan ada sifat-sifatnya sama ada bau atau rasa atau warna. Cara membersihkannya ialah dengan air sehingga hilang semua sifat-sifat tersebut (bau, rasa dan warna). Sekiranya najis tersebut dapat dihilangkan bersama sifat-sifatnya dengan sekali basuhan sahaja, ia sudah mencukupi. Akan tetapi sunat untuk dia membasuhnya pada kali kedua dan ketiga.
Syeikh al-Islam Zakaria al-Ansari menyebutkan bahawa contoh najis hukmiyyah adalah seperti air kencing yang telah kering serta tidak dilihat padanya kesan atau sifat-sifatnya. Maka, cara membersihkannya, cukup dengan hanya mengalirkan air padanya sekali. Adapun ‘ainiyyah, maka wajib dihilangkan sifat-sifatnya yang terdiri daripada bau, rasa dan warna, melainkan ada kesukaran bagi menghilangkan salah satu antara dua sifat iaitu sama ada warna atau bau. Maka, dalam hal ini tidak wajib menghilangkannya, bahkan ia telah pun dikira sebagai suci. Akan tetapi, sekiranya terhimpun kedua-duanya sekali (bau dan warna) pada tempat tersebut, maka wajib untuk dihilangkan kedua-dua sifat tersebut kerana ia adalah merupakan bukti yang kuat bahawa ‘ain najis itu masih ada sepertimana ciri atau sifat yang ditunjukkan oleh rasa.
Merujuk kepada persoalan puan, kehadiran bau hancing pada sofa atau tilam menunjukkan bahawa terdapatnya kesan najis melalui salah satu sifatnya iaitu bau. Oleh kerana itu ia perlu dibasuh atau disucikan sebagaimana cara yang dinyatakan.
والله أعلم بالصواب
Sekian, terima kasih.