Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum wrt. Saya seorang graduan Dr gigi. Kerajaan melarang Dr gigi untuk kerja secara part time atau locum sebelum cukup setahun berkhidmat di klinik kerajaan. Soalan saya, adakah haram hukum gaji yang saya terima jika saya tetap bekerja secara part time sebelum cukup setahun berkhidmat? Terima kasih semoga dirahmati Allah SWT
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد
Kewajipan menepati perjanjian atau syarat adalah sesuatu yang amat dituntut di dalam Islam sebagaimana firman Allah SWT dalam surah al-Isra’ ayat 34:
وَأَوْفُوا بِالْعَهْدِ إِنَّ الْعَهْدَ كَانَ مَسْئُولًا
Maksudnya: Dan sempurnakanlah perjanjian (dengan Allah dan dengan manusia), sesungguhnya perjanjian itu akan ditanya.
Hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:
المسلمونَ على شروطِهم
Maksudnya: Orang muslim dipegang atas syarat-syarat mereka (perjanjian yang dipersetujui). (Riwayat Abu Daud)
Berkaitan dengan persoalan yang diberikan, hasil pekerjaan part time itu adalah tidak halal. Pertamanya berdasarkan dalil di atas. Kedua, kedudukan tuan yang berkhidmat dengan kerajaan dianggap bekerja secara ijarah khasah. Jika demikian, maka tuan adalah tidak dibenarkan untuk bekerja di tempat lain melainkan dengan keizinan serta kebenaran daripada pihak majikan.
Terdapat beberapa perkara yang perlu diambil perhatian, mungkin antara sebab mengapa pihak Kementerian tidak membenarkan berbuat demikian adalah untuk memastikan doktor perubatan mempunyai pengalaman yang mencukupi sebelum berkhidmat secara penuh di dalam masyarakat. Mungkin juga bagi memastikan perkhidmatan yang diberikan adalah baik. Ini adalah kerana apabila mengambil tugasan lain secara part time mungkin akan menyebabkan masa rehat yang tidak cukup menyebabkan perkhidmatan yang sepatutnya diberikan akan terjejas.
والله أعلم بالصواب