Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum Mufti
Saya ada soalan tentang bersuci
Saya pergi kencing di tandas rumah. Selepas beberapa minit keluar dari tandas, saya terdetik untuk check kemaluan saya. Hal ini kerana kemaluan saya macam ada penyakit iaitu kadang kadang keluar cecair jernih seakan akan air mazi. Waktu saya check, ada cecair tersebut tetapi sangat sedikit (betul - betul di atas garisan nipis tempat keluar air kencing). Waktu saya check itu dalam keadaan baring. Saya tidak pasti ia keluar bila dan adakah ia kena pada seluar saya. Kemudian saya hanya membasuh kemaluan saya dan terus memakai seluar tadi. Persoalan saya adakah tindakan saya betul. Hal ini telah mendatang was was kerana seluar tadi masih lembab dan saya seakan akan najis telah merebak di seluruh rumah
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد
Air mazi ialah air yang berwarna putih, halus dan melekit, keluar ketika bangkitnya permulaan syahwat atau ketika bergurau senda bersama isteri dan menciumnya. Ia keluar tanpa memancut dan tidak diiringi dengan lembiknya zakar, kadang-kadang ia keluar tanpa disedari. Mazi lelaki dan wanita adalah sama, wanita keluar mazi apabila bangkit syahwatnya. Tidak wajib mandi dengan sebab keluar mazi, iaitu air yang keluar disebabkan syahwat yang paling rendah (mani adalah air kemuncak syahwat). Mazi mempunyai sifat-sifat air mani seperti yang disebutkan berdasarkan hadis riwayat Saidina Ali Karramallahu Wajhah di mana beliau berkata:
كُنْتُ رَجُلاً مَذَّاءً فَجَعَلْتُ أَغْتَسِلُ حَتَّى تَشَقَّقَ ظَهْرِى فَذَكَرْتُ ذَلِكَ لِلنَّبِىِّ (ص) أَوْ ذُكِرَ لَهُ - فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ (ص) لاَ تَفْعَلْ إِذَا رَأَيْتَ الْمَذْىَ فَاغْسِلْ ذَكَرَكَ وَتَوَضَّأْ وُضُوءَكَ لِلصَّلاَةِ فَإِذَا فَضَخْتَ الْمَاءَ فَاغْتَسِلْ
Maksudnya: “Aku adalah seorang lelaki yang sentiasa keluar mazi, aku sentiasa mandi pada musim sejuk sehingga belakangku kelihatan pecah-pecah. Aku bertanyakan hal itu kepada Rasulullah SAW. Rasulullah SAW bersabda: “Jangan kamu lakukan seperti itu, jika kamu melihat mazi maka basuhlah kemaluanmu dan berwuduklah sebagaimana kamu berwuduk untuk solat. Jika kamu mencurahkan air (mani) maka hendaklah kamu mandi.”
Adapun air wadi iaitu air yang keruh dan pekat yang hampir menyerupai mani dari sudut kepekatannya dan tidak sama seperti mani dari sudut kekeruhan warnanya, tidak mempunyai warna dan keluar selepas kencing dan ketika mengangkat sesuatu yang berat. Wadi keluar sebanyak satu atau dua titisan, tidak wajib mandi dengan sebab keluarnya kerana tiada sebab dari sudut syarak yang mewajibkan mandi kerana yang diwajibkan mandi ialah keluar mani sahaja.
Merujuk kepada persoalan tuan, tidak dapat dipastikan cecair yang keluar melalui kemaluan itu samada air mazi atau wadi, maka jika keluar salah satu cecair tersebut ia tetap bernajis dan perlu dibasuh. Namun tidak sampai kepada tahap perlu mandi wajib. Apa yang perlu dilakukan hanyalah dengan membasuh sahaja kemaluan tersebut sehingga bersih sudah memadai.
Manakala berkaitan seluar yang lembap tersebut samada ia bernajis atau tidak dan telah merebak seluruh rumah terdapat hadis yang diriwayatkan oleh Said bin Musayyab bahawa terdapat seorang lelaki mengadu kepada Rasulullah SAW yang dia ragu-ragu sama ada keluar sesuatu (terkentut) ketika solat, lalu baginda SAW bersabda:
«لاَ يَنْفَتِلْ - أَوْ لاَ يَنْصَرِفْ - حَتَّى يَسْمَعَ صَوْتًا أَوْ يَجِدَ رِيحًا»
Bermaksud: “Janganlah kamu berpindah – atau pergi – sehingga kamu mendengar bunyi atau mencium bau (kentut)”. (Riwayat al-Bukhari).
Di hadis yang lain yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:
«إِذَا وَجَدَ أَحَدُكُمْ فِي بَطْنِهِ شَيْئًا، فَأَشْكَلَ عَلَيْهِ أَخَرَجَ مِنْهُ شَيْءٌ أَمْ لَا، فَلَا يَخْرُجَنَّ مِنَ الْمَسْجِدِ حَتَّى يَسْمَعَ صَوْتًا، أَوْ يَجِدَ رِيحًا»
Bermaksud: “Apabila seseorang di antara kamu merasakan sesuatu dalam perutnya kemudian dia ragu-ragu apakah dia mengeluarkan sesuatu (kentut) atau tidak maka janganlah sekali-kali ia keluar dari masjid kecuali ia mendengar suara atau mencium baunya”. (Riwayat Muslim).
Dari dua hadis di atas, menunjukkan bahawa ragu-ragu atau syak tidak boleh dijadikan sandaran hukum. Ini dikukuhkan dengan firman Allah SWT di dalam surah Yunus: 36:
إِنَّ الظَّنَّ لَا يُغْنِي مِنَ الْحَقِّ شَيْئًا
Maksudnya: “Sesungguhnya zhan (sangkaan) tidak dapat menandingi/mengatasi kebenaran walau sedikit pun”.
Ini dikuatkan dengan kaedah Fiqh yang berbunyi:
الْأَصْلُ بَقَاءُ مَا كَانَ عَلَى مَا كَانَ
Bermaksud: “Pada asasnya, (hukum) sesuatu itu kekal mengikut keadaan (hukum) asalnya”.
Hukum asal sesuatu itu adalah suci, maka ia akan terus kekal suci. Manakala najis itu sifat atau keadaan yang mendatang, maka ia perlu dibuktikan dengan keyakinan, dan bukan ragu-ragu. Perasaan tidak yakin atas sesuatu itu merupakan penyakit was-was pada diri anda yang perlu dielakkan dan dijauhi bagi menggelakkan permasalahan yang lebih berat kepada diri anda pada masa akan datang. Perasaan was-was itu adalah gangguan dari syaitan. Para ulama’ amat mengambil berat mengenai penyakit ini kerana jika dibiarkan berlarutan boleh menjadi sesuatu yang lebih kronik kerana ianya penyakit yang berkaitan dengan jantung hati.
والله أعلم بالصواب
Sekian, terima kasih.