Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Assalamualaikum ustaz. Saya tidak mengisytiharkan cukai pendapatan saya dgn sempurna dan saya sedar bahawa ini adalah suatu kesalahan dalam akta. Namun saya masih menyempurnakan zakat pendapatan dgn baik. Apakah hukum saya mengelakkan cukai pendapatan tersebut atas2 sebab kekangan kewangan untuk membayar jumlahnya yang agak tinggi setiap tahun? Mohon pencerahan. Terima kasih.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan tuan, tahniah kerana tuan menyempurnakan zakat pendapatan dengan baik dan sempurna. Berkenaan dengan cukai pendapatan yang tidak diisytiharkan dengan sempurna merupakan suatu kesalahan dari segi undang-undang dan dari sudut Islam pula, ia adalah ingkar dengan arahan pemimpin sebagaimana firman Allah SWT: Maksudnya : “Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada "Ulil-Amri" (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya - jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya.” (an-Nisa’: 59) Sebagai umat Islam, kita perlu mentaati pemerintah selagi mana ia tidak kufur kepada Allah SWT. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.