Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamu'alaikum dan salam sejahtera, saya ingin bertanya saya merancang untuk melakukan pembedahan bahagian rahang dengan tujuan untuk membetulkan posisi rahang saya yang agak senget. Bukannya untuk kecantikan, tetapi dalam masa yang sama saya berasa ragu-ragu berkenaan dengan hukumnya. Saya bimbang jika apa yang saya ingin lakukan itu berdosa dan termasuk dalam mengubah ciptaan Allah. Saya lakukan pembedahan rahang ini supaya keyakinan saya bertambah kerana sekarang tidak selesa melihat wajah sendiri yang senget sehingga berasa kurang yakin berhadapan dengan orang lain. Adakah itu berdosa juga? Terima kasih.
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاتة
الحمدلله رب العلمين والصلاة والسلام علي أشرف الأنبياء المريلين وعلي أله وصحبه أجمعين أما بعد
Merujuk kepada persoalan saudari, melakukan pembedahan untuk membetulkan rahang yang senget agar kembali ke kedudukan asalnya dan berfungsi dengan normal adalah diharuskan. Ia tidak termasuk dalam kategori mengubah ciptaan Allah SWT. Tambahan pula pembedahahan bukan bertujuan untuk kecantikan semata-mata.
Semoga dengan membuat pembedahan ini saudari dapat memanfaatkannya denga sebaik mungkin seperti dapat makan minum dengan baik, dapat membaca al-Quran dengan baik dan sebagainya. Oleh itu setiap anggota badan yang kita gunakan untuk membuat kebaikan, maka ianya menjadi sedekah dan mendapat pahala. Dari Abu Hurairah RA dia berkata: Rasulullah SAW bersabda
كُلُّ سُلاَمَى مِنَ النَّاسِ عَلَيْهِ صَدَقَةٌ، كُلُّ يَوْمٍ تَطْلُعُ فِيْهِ الشَّمْسُ تَعْدِلُ بَيْنَ اثْنَيْنِ صَدَقَةٌ، وَتُعِيْنُ الرَّجُلَ فِي دَابَّتِهِ فَتَحْمِلُهُ عَلَيْهَا أَوْ تَرْفَعُ لَهُ عَلَيْهَا مَتَاعَهُ صَدَقَةٌ وَالْكَلِمَةُ الطَّيِّبَةُ صَدَقَةٌ، وَبِكُلِّ خُطْوَةٍ تَمْشِيْهَا إِلَى الصَّلاَةِ صَدَقَةٌ وَ تُمِيْطُ اْلأَذَى عَنِ الطَّرِيْقِ صَدَقَةٌ
Maksudnya: Setiap anggota tubuh manusia dapat melakukan sedekah, setiap hari di mana matahari terbit lalu engkau berlaku adil terhadap dua orang (yang bertikai) adalah sedekah, engkau menolong seseorang yang berkenderaan lalu engkau bantu dia untuk naik kenderaannya atau mengangkatkan barangnya adalah sedekah, ucapan yang baik adalah sedekah, setiap langkah ketika engkau berjalan menuju solat adalah sedekah dan menghilangkan gangguan dari jalan adalah sedekah.
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
والله أعلم بالصواب