Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualakum. Saya ada terkencing Dalam seluar pada satu malam. Sebelum bergerak bangun dari katil saya ada sinsing seluar (bagi ketat) dengan tujuan untuk mengelakkan titisan kencing jatuh ke lantai. Saya juga merasakan tiada sebarang air mengalir dari paha ke betis dan kaki. Namun, akibat waswas saya telah membersihkan lantai bilik iaitu dengan mencurah air kemudian lap, ulang dari katil ke bilik. Dimana, setiap satu kawasan hanya dicurahkan air sekali dan dilap satu kali. Menggunakan kain yang sama. Solan saya, jika benar ada air kencing menitis adakah cara saya mensucikan tersebut? Dan jika salah, bagaimana untuk saya mensucikannya kembali?
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد
Permasaalahan ragu-ragu samada terdapat air kencing menitis ke lantai semasa bergerak dari katil ke tandas, terdapat hadis yang diriwayatkan oleh Said bin Musayyab bahawa terdapat seorang lelaki mengadu kepada Rasulullah SAW yang dia ragu-ragu sama ada keluar sesuatu (terkentut) ketika solat, lalu baginda SAW bersabda:
«لاَ يَنْفَتِلْ - أَوْ لاَ يَنْصَرِفْ - حَتَّى يَسْمَعَ صَوْتًا أَوْ يَجِدَ رِيحًا»
Bermaksud: “Janganlah kamu berpindah – atau pergi – sehingga kamu mendengar bunyi atau mencium bau (kentut)”. (Riwayat Al-Bukhari).
Begitu juga dalam hadis lain yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:
«إِذَا وَجَدَ أَحَدُكُمْ فِي بَطْنِهِ شَيْئًا، فَأَشْكَلَ عَلَيْهِ أَخَرَجَ مِنْهُ شَيْءٌ أَمْ لَا، فَلَا يَخْرُجَنَّ مِنَ الْمَسْجِدِ حَتَّى يَسْمَعَ صَوْتًا، أَوْ يَجِدَ رِيحًا»
Bermaksud: “Apabila seseorang di antara kamu merasakan sesuatu dalam perutnya kemudian dia ragu-ragu apakah dia mengeluarkan sesuatu (kentut) atau tidak maka janganlah sekali-kali ia keluar dari masjid kecuali ia mendengar suara atau mencium baunya”. (Riwayat Muslim).
Dari dua hadis di atas, menunjukkan bahawa ragu-ragu atau syak tidak boleh dijadikan sandaran hukum. Ini dikukuhkan dengan firman Allah SWT di dalam surah Yunus ayat 36:
إِنَّ الظَّنَّ لَا يُغْنِي مِنَ الْحَقِّ شَيْئًا
Maksudnya: “Sesungguhnya zhan (sangkaan) tidak dapat menandingi/mengatasi kebenaran walau sedikit pun”.
Ini dikuatkan dengan kaedah Fiqh yang berbunyi:
الْأَصْلُ بَقَاءُ مَا كَانَ عَلَى مَا كَانَ
Bermaksud: “Pada asasnya, (hukum) sesuatu itu kekal mengikut keadaan (hukum) asalnya”.
Hukum asal sesuatu itu adalah suci, maka ia akan terus kekal suci. Manakala najis itu sifat atau keadaan yang mendatang, maka ia perlu dibuktikan dengan keyakinan, dan bukan ragu-ragu. Perasaan tidak yakin atas sesuatu itu merupakan penyakit was-was pada diri anda yang perlu dielakkan dan dijauhi bagi menggelakkan permasalahan yang lebih berat pada masa akan datang. Perasaan was-was ini adalah gangguan dari syaitan. Para ulama’ amat mengambil berat mengenai penyakit ini kerana jika dibiarkan berlarutan boleh menjadi sesuatu yang lebih kronik kerana ianya penyakit yang berkaitan dengan jantung hati.
Berdoalah kepada Allah SWT semoga kita dijauhi dari penyakit was-was ini.
Merujuk kepada soalan yang diajukan, tuan telah meyakini bahawa tiada sebarang titisan air yang jatuh ke lantai semasa bergerak dari katil ke tandas. Oleh itu, berdasarkan kepada hadis serta ayat al-Quran di atas, maka lantai tersebut kekal bersih dan suci daripada najis atas keyakinan tuan. Ini adalah kerana asal sesuatu itu adalah suci, sehingga kita yakin adanya najis. Namun jika diyakini terdapat najis pada lantai tersebut berdasarkan kepada ain, bau dan juga rasanya, maka ia perlu dibersihkan dan disucikan dengan dialirkan air mutlak pada tempat yang DIYAKINI terkena najis dan dikeringkan dengan kain atau mop. Adalah disarankan agar menggunakan kain yang berlainan semasa proses membasuh najis tersebut dan semasa mengeringkan lantai kerana dikhuatiri kain yang digunakan semasa membasuh najis tersebut menanggung najis dan mengakibatkan lantai tersebut kekal bernajis.
والله أعلم بالصواب
Sekian, terima kasih.