Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Salam tuan mufti. Saya hendak bertanya tentang isu tersentuh barangan kulit babi. Dulu waktu dizaman persekolahan di tahun 2013, saya pernah tersentuh barangan rakan saya yang diperbuat daripada kulit babi. Saya tidak ingat jika disentuh dengan tangan basah atau kering. Sudah 9 tahun berlalu. Pada masa itu, saya sudah mengetahui bahawa itu kulit babi, akan tetapi saya ingatkan ianya dimaafkan kerana semasa saya sentuh sebelum itu, saya tidak mengetahui. Saya dahulu agak jahil bab-bab menyucikan najis walaupun pernah mempelajarinya di sekolah. Maka, saya tidak melakukan apa-apa proses sertu kerana anggap tidak mengapa kerana tidak sengaja. Selepas itu, selepas beberapa tahun, baru saya terfikir tentang perkara itu dan perlu sertu. Tidak silap saya pada tahun 2018. Saya rasa saya ada melakukan proses sertu, tetapi saya tidak ingat. Oleh itu, sekarang, pada tahun 2022, saya terfikir balik isu itu. Saya terfikir adakah amalan saya daripada 2013 sehingga 2018 itu adalah tak sah kerana saya tidak pernah sertu. Selain itu, adakah semua barang yang saya sentuh semenjak itu menjadi najis? Saya juga waswas jika saya betul-betul sudah melakukan proses sertu atau tidak, serta berasa waswas jika proses sertu tersebut sah atau tidak
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد
Merujuk kepada persoalan puan, bersuci itu wajib apabila diyakini sesuatu tempat itu terdapatnya najis dari segi ainnya, bau, warna dan rasa. Penyucian ke atas tempat-tempat yang diyakini terkena najis itu dilakukan apabila najisnya jelas kelihatan seperti tahi, air kencing dan selainnya sehingga hilang bau, rasa dan warna.
Oleh itu, bagi persoalan yang ditimbulkan, puan tidak perlu melakukan sertu pada masa ini, kerana perkara telah berlaku 9 tahun yang lalu. Dalam situasi 9 tahun yang lalu juga puan tidak dapat meyakini semasa memegang barangan kulit daripada babi tersebut dalam keadaan basah atau kering. Sehubungan itu, jika sekadar andaian atau sangkaan, maka ia kembali kepada kaedah fiqh menyatakan:
اليقين لا يزول بالشك
Maksudnya: "Keyakinan tidak akan dapat menghapuskan keraguan".
Ini kerana pada asalnya, sesuatu itu adalah suci sehingga dibuktikan dengan pasti adanya najis disertakan dengan salah satu sifatnya iaitu bau, rasa atau warna. Berpeganglah kepada konsep umum iaitu selagi tidak ada najis yang jelas sifatnya iaitu bau, rasa atau warnanya, maka tidak perlu disertu. Jika tidak dapat dipastikan dan sekadar anggapan atau was-was maka ianya tidak perlu disertu dan hanya perlu dibersihkan seperti biasa sahaja.
والله أعلم بالصواب
Sekian, terima kasih.