Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum dan salam sejahtera. Saya Muhammad Hanis Irfan, seorang pelajar yang sedang menjalani latihan praktikal di sebuah syarikat pengehosan web di Selangor. Tujuan saya menyertai syarikat ini ialah untuk menambah pengalaman dan sebagai syarat bergraduat kolej saya.
Di syarikat pengehosan ini, mereka menyediakan pelbagai servis pengehosan yang mana termasuk dengan pengehosan Forex. Servis pengehosan Forex ini membolehkan pelanggan mengehos Forex online trading mereka secara dalam talian mengunakan Virtual Private Server (VPS).
Bagi servis pengehosan Forex ini, kami tidak memberikan sebarang konsultasi atau kelas berkenaan Forex namun kami hanya memberikan sebuah VPS bagi pelanggan menjalankan perisian trading mereka.
Saya ditugaskan untuk membantu pelanggan dengan menjawab soalan mereka dan juga mengendalikan hal berkaitan teknikal pelayan pengehosan Forex ini. Antaranya masalah teknikal yang perlu saya selesaikan untuk pelanggan ialah memasang perisan trading iaitu MetaTrader 4 pada VPS mereka.
Persoalan saya, adakah pekerjaan saya ini dibenarkan? Apakah status elaun/gaji yang saya terima daripada syarikat ini?
Terima kasih di atas masa yang diluangkan bagi membaca dan menjawab persoalan saya.
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
الحمد لله رب العالمين الصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وأصحابه أجمعين ، أما بعد
Dalam menjawap isu ini, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (Jawatankuasa Muzakarah MKI) Kali Ke-98 yang bersidang pada 13-15 Februari 2012 telah membincangkan Hukum Perdagangan Pertukaran Matawang Asing oleh Individu Secara Lani (Individual Spot Forex) melalui Platfom Elektronik dan didapati transaksi ini mengandungi unsur-unsur seperti riba melalui pengenaan rollover interest, pensyaratan jual beli dalam pemberian hutang melalui leverage, qabd yang tidak jelas ketika transaksi pertukaran, penjualan mata wang yang tiada dalam pegangan dan spekulasi yang melibatkan perjudian. Selain itu ianya juga tidak sah dari sisi undang-undang Kerajaan Malaysia.
Sehubungan itu, Muzakarah memutuskan bahawa perdagangan pertukaran mata wang asing (forex) oleh individu secara lani (individual spot forex) melalui platfom elektronik yang ada pada masa ini adalah haram kerana ia bercanggah dengan kehendak syarak dan juga tidak sah dari sisi undang-undang negara. Selaras dengan itu, umat Islam adalah dilarang daripada melibatkan diri dalam perdagangan mata wang seumpama ini
Oleh yang demikian, mana-mana orang Islam adalah dilarang melibatkan diri dengan Forex Online Trading. Kerja mengehos online trading secara dalam talian mengunakan Virtual Private Server (VPS) adalah haram jika ia melibatkan Forex Online Trading. Firman Allah SWT di dalam surah Al-Maidah: ayat 2:
وَتَعَاوَنُواْ عَلَى الْبرِّ وَالتَّقْوَى وَلاَ تَعَاوَنُواْ عَلَى الإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ
Maksudnya: Dan tolong menolonglah kamu dalam perkara kebaikan dan taqwa dan janganlah bertolong-tolongan dalam perkara dosa dan permusuhan.
Sekiranya perbuatan tersebut termasuk dalam yang kategori yang diharamkan maka hasil pendapatan seperti elaun dan gaji adalah haram dan hendaklah dibersihkan dengan diserahkan kepada pihak Baitul Mal.
والله أعلم بالصواب